Ahad, 29 Mei 2016

CERPEN DIA SAHABATKU


 DIA SAHABATKU
Gambar Hiasan

Azharina menapak masuk ke Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN). Dia menyedari ramai orang memandang dirinya. Dia cuba melontarkan senyuman. Tapi, tiada yang membalas. Azharina menundukkan pandangan. Usai mendaftarkan diri di meja pendaftaran, pemeriksaan beg dilakukan oleh jurulatih PLKN. Sangkanya, dia terlepas daripada melakukan kesalahan. Tetapi, bekalan ubat-ubatan yang dibawa dari rumah telah dirampas. Azharina terlopong. “Ubat dilarang sama sekali,” bicara jurulatih lelaki itu. Azharina mengetap bibir. 
Azharina berasa hairan. “Maafkan saya Encik, mengapa ubat-ubatan saya dirampas. Ianya satu kesalahan juga?” Azharina memberanikan diri bertanya kepada jurulatih tersebut. Jurulatih itu memandang wajah kelat Azharina. Matanya menyorot memandang tubuh badan Azharina. Ehem.. Azharina berdehem. “Ubat dilarang sama sekali Cik,” ulang  jurulatih lelaki tersebut. 
“Bawa ubat tidak menjadi kesalahan. Yang menjadi kesalahannya, apabila ubat disalahgunakan oleh peserta. Kami tidak membenarkan ubat berada di bawah simpanan Cik. Di sini, kamu semua berada di bawah tanggungjawab kami. Kalau sakit, boleh mengadu kepada Felo Dorm masing-masing,” bicara jurulatih perempuan dengan panjang lebarnya. Azharina mengangguk-angguk perlahan. Memahami tugas jurulatih yang diamanahkan. 
Perjalanan dari dewan makan ke kolej kediaman atau dipanggil sebagai Dorm memakan masa 15 minit. Azharina membimbit beg pakaian menuju ke Dorm 7. Sepanjang perjalanannya menuju ke Dorm 7, Azharina menyedari ada mata mata yang menyoroti dirinya. Tetapi dia buat endah tidak endah sahaja. Sudah menjadi kebiasaaan, dirinya menjadi tatapan umum orang ramai. Dia menarik nafas lega memandang satu deretan Dorm yang menempatkan lebih kurang 30 orang peserta PLKN. 
Sewaktu ingin memasuki pintu Dorm, Azharina berselisih bahu dengan seorang gadis seusia dengan dirinya. Hanya gadis itu insan pertama yang menguntumkan senyuman manis dan ikhlas. Hatinya berbunga-bunga riang. Azharina tidak sabar ingin berkenalan dengan rakan baharunya di sini. 
“Awak asal mana Aishah,” tanya Azharina. Setahu Azharina, majoriti daripada peserta yang ditempatkan  di PLKN Cheneh, Hulu Terengganu ialah Kelantan, Terengganu dan Pahang sahaja.

“Kelantan,” tutur Aishah sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Azharina. “Awak asal Pahang ya Rina,” duga Aishah. Azharina menganggukkan kepalanya. “Pandai Aishah teka,” puji Azharina. “Dengar slang pon dah tahu,” balas Aishah selamba. Mereka sama-sama tergelak. 

Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Masa semakin mengejar. Sebulan sudah berlalu. Pusat Latihan Khidmat Negara benar-benar mengajar erti kehidupan bermasyarakat. Disiplin diri menjadi banteng utama yang diterapkan kepada peserta PLKN. Bukan sahaja dilatih berdisplin, malah ketepatan masa, kecekapan bekerja, kebolehan berkomunikasi, jati diri dan sebagainya. 

“Aishah, kita pergi tasik lepas makan petang, nak tak,” ajak Rina sambil menjungkitkan kedua-dua keningnya. “Tasik? Hari-hari kot kita disuruh lari keliling tasik,” beritahu Aishah sambil mengerutkan dahinya. “Nak tak,” desak Rina sambil memaut lengan sahabatnya, Aisyah. “Iya. Baik tuan puteri Rina,” usik Aishah sambil mengenyitkan matanya. “Ke situ pula,” mata Azharina dicerlung. Bahu Aisyah ditepuk lembut. 
Angin sepoi-sepoi bahasa menyentuh lembut pipi mulus Aishah. Azharina turut menikmati angin petang di tasik Kem mereka. Hari itu hari minggu. Ramai ahli keluarga kawan-kawan mereka yang datang melawat. Terasa kebahagian menjalar memandang kemesraan keluarga yang datang melawat. 
“Aishah, Ummi dengan Abah tidak datang melawat,” tanya Azharina sambil kakinya menguis-nguis daun-daunan kering. “Tak. Jauh la Rina. Dari Kelantan ke Hulu Terengganu. 5 jam perjalanan,” keluh Aishah. “Ibu bapa Rina macam mana?” Azharina diam membisu. Azharina tersenyum kelat. Sepi membisu. Tiada jawapan daripada Azharina.
“Aishah. Rina nak minta maaf,” tutur Azharina perlahan. Aishah mengerutkan dahi. Azharina meraih tangan Aishah. Aishah terpinga-pinga. “Rina dapat tahu, Aishah dipinggir oleh sahabat baik Aishah. Kerana bersahabat dengan Rina,” bicara Azharina lembut. Kelopak mata Azharina mula basah. “Jangan cakap macam tu,” Aishah mengeleng-ngelengkan kepalanya. Tangan Azharina digenggam kemas. Aishah tidak ingin Azharina membuat tafsiran sendiri mengenai hubungan dia dengan sahabat baiknya, Syafiqah. Syafiqah iri hati. Iya! Syafiqah iri hati disebabkan Aishah menempatkan Azharina di tempat yang istimewa. Hati Aishah galau. Antara Syafiqah dan Azharina. Kenapa dia harus memilih? Hati Aisyah diruntun hiba. Kedua-duanya insan yang disayangi. Aishah dilema.
Aishah bijak menyembunyikan perasaannya. Tetapi Azharina dapat mengecam wajah duka Aishah. Pernah Azharina melihat Aishah menangis sendirian. Bila ditanya, Aishah mengeleng-ngelengkan kepala. Aishah sering berdalih. Kerana dia. Hubungan Aishah dan Syafiqah menjadi renggang. Azharina sedar. Syafiqah tidak pernah selesa berkawan dengannya. Azharina juga pernah makan hati dengan perbuatan Syafiqah. Mungkin niatnya murni, tetapi Azharina tidak suka!
          “Aishah, Rina nak minta tolong supaya kembalikan deodoran ini kepada Piqah. Rina tak suka!” kata Rina kepada Aishah yang sedang melipat kain bajunya di atas katil. Aishah menganggukkan kepalanya. Badan Azharina berbau. Itu juga menjadi salah satu penyebab ramai yang tidak ingin mendampinginya. Tetapi, Aishah sangat kuat mengenepikan perasaan tidak senang itu. Semata-mata tidak ingin melihat Azharina keseorangan. Aishah, seorang gadis berjiwa lembut. Dia tidak memilih sahabat dari golongan kaya atau miskin. 
“Rina, kita Hamba Allah. Semuanya sama dimata Allah. Hanya Iman dan Takwa yang membezakan kita. Allah tidak melihat kepada paras rupa kita. Buktinya, dalam lipatan sejarah kenabian, Bilal Bin Rabah, seorang lelaki berkulit hitam menjadi hamba Allah yang dijanjikan syurga. Mengapa? Kerana dia hamba yang taat kepada Allah dan Rasulullah,” jelas dan tersusun butir bicara Aishah. 
“Terima Kasih Aishah,” ujar Azharina seusai mereka selesai solat maghrib berjemaah bersama. Azharina akui. Dia datang daripada keluarga yang miskin. Banyak kekurangan. Menelusuri jalan-jalan hidup yang berliku ini, Azharina acap kali mengeluh. Semenjak bertemu dengan Aishah, Azharina berasa tenang. Wajah Aishah menghantarkan kedamaian pada mata-mata yang melihat dirinya. Bukan sahaja wajahnya yang lembut, sikap dan perilakunya sangat terjaga. Azharina tidak pernah mendengar Aishah mengeluarkan perkataan mencarut. Semuanya tertib dan tersusun indah. “Alangkah bahagia jika Aishah itu aku!” getus Azharina sendirian. 
Hari itu jalan berbukit licin. Pagi tadi hujan renyai-renyai. Peninjauan tempat dan lokasi tapak perkhemahan didedahkan sebelum peserta menjalani latihan perkhemahan di hutan selama 2 malam 3 hari. Aishah menyedari muka Azharina pucat. Mungkin menahan penat.
“Rina, awak okey tak? Aishah bertanya sambil memaut lengan Azharina untuk mengagahkan dirinya mendaki jalan berbukit. Rina hanya tersenyum hambar. Aishah risau memikirkan kesihatan Azharina. Bukannya dia tidak tahu, Azharina tidak sihat. Keterujaan Azharina untuk bermalam di hutan menjadikan Aishah tidak keruan. Azharina berdegil mahu mengikut walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. 
“Macam Mana Rina. Seronok,” tanya Aishah sambil menepuk lembut rakannya.
“Sangat, yang paling seronok dapat makan nasi putih dengan ikan sardin yang dimasak sendiri atas bara api. Rasa lebih enak daripada makan yang dimasak pakai dapur gas,” luah Azharina dengan panjang lebar.
Aishah tahu Azharina jarang menikmati suasana gembira bersama kawan-kawan begini. Kem PLKN membuka peluang kepada Azharina meneroka alam luar, mengenali sahabat-sahabat dari negeri berlainan, mendidik jati diri dan disiplin dirinya. Sebelum malam menjelma, Azharina akan bercerita dengan penuh bersemangat  tentang apa yang dilaluinya kepada Aishah. Aishah gembira melihat Azharina gembira. 
Menuruni jalan berbukit, memerlukan mereka untuk lebih berhati-hati. Aishah masih setia memimpin Azharina. Wajah Azharina pucat. Aishah semakin risau dengan keadaan diri rakannya. Badan Azharina semakin lemah. Aishah tiada kudrat untuk memimpin sahabatnya yang jauh lebih besar daripada dirinya. Beberapa sahabat lain berusaha membantu Aishah memangku Azharina. Azharina dimasukkan ke Klinik yang terdapat dalam Kem itu. Prestasi kesihatan Azharina menurun. 
“Rina, kuatkan semangat. Aishah ada kat sini,” ujar Aishah sayu melihat Rina yang sukar menarik nafas. Rina mengangguk lemah. Aishah menunggu di ruangan luar. Jari jemari halusnya digunakan untuk bertahlil, bertasbih, bertahmid. Aishah menjadi risau sendiri. Teringat kata-kata Azharina pada suatu malam.
 “Aishah. Rina nak bagitahu Aishah sesuatu. Tapi Aishah janji jangan bagitahu orang lain, tau,” bisik Azharina. “InsyaAllah, apa dia Rina? balas Aishah perlahan. “Rina ada penyakit buasir. Rina pernah masuk hospital disebabkan penyakit Rina ni. Lagi satu, Rina ada penyakit dalam perut. Cuma Rina belum pasti, apa yang ada dalam perut ni. Sebab tu orang tengok Rina macam orang mengandung. Yelah, perut memboyot kan,” ujar Rina sambil gelak kecil mendengar telahannya sendiri. Aishah terkedu. Dia masih boleh ketawa kecil menceritakan tentang penyakit misterinya. Aishah berasa serba salah. Mahu ketawa, rasanya tiada yang melucukan. Aishah menganggukkan kepalanya perlahan. Dia tersenyum dalam duka. Rupa-rupanya, di sebalik kegembiraan yang dipertontonkan, Azharina jauh lebih kuat dan tabah darinya. Azharina masih mampu bertahan dengan penyakit misterinya sehingga detik, saat, dan ketika ini. “Sungguh, Tiada daya dan upayaku melainkan dengan kehendakNya,” tutur Aishah halus. 
“Aishah. Jom balik,” ajak Rina sambil menepuk-nepuk bahu Aishah yang sedang mengelamun. “Dah boleh balik,” tutur Aishah. Ya. Azharina menganggukkan kepalanya. Tangan Azharina diraih dan disilang masuk ke dalam lengannya. Mereka dihantar ke kolej kediaman dengan menaiki Van yang dikhaskan untuk menghantar pesakit. 
“Aishah. Terima Kasih. Sudi jadi sahabat susah dan senang. Rina belum pernah berjumpa dengan orang macam Aishah. Biasanya orang akan pandang jijik dengan Rina,” ucapnya dengan nada sayu. Tubir matanya berkaca.
“Sama-sama Rina. Islam mewajibkan kita bersaudara. Jangan Rina fikir antara kita ada keterbatasan atau jurang yang memisahkan. Aishah hamba Allah. Begitu juga dengan Rina. Kita tiada apa-apa. Semuanya milik Allah,” ujar Aishah menyakinkan Azharina tentang kepastian itu. 
Mereka berpelukan. Azharina menangis. Menangis mengenangkan dosa-dosanya yang sering mengutuk kekurangan dirinya sendiri. Padahal, apa yang ada di tubuhnya adalah milik Allah yang dipinjamkan kepadanya. Azharina sudah tidak peduli dengan mulut-mulut manusia yang melontarkan kata-kata hinaan. “Biarlah buruk dimata manusia, asalkan bernilai di mata Allah,” pujuk Azharina menenangkan hatinya. 

Jumaat, 27 Mei 2016

PUISI: BISIKAN ALAM LAUT

Manusia,
Hati ini,
Jiwa ini;
Perasaan ini,
Sepi terhadap sifatmu.

Manusia,
Walaupun aku ciptaan yang tidak bernyawa,
Aku masih mempunyai perasaan;
Didadaku kau mencari rezeki jasad,
Didadaku kau mengotori dengan  gelagat mu manusia.

Manusia,
Apakah ini balasan mu,
Mencemari tubuhku dengan  sisa-sisa pencemaran;
Membunuh segala ciptaan hidup yang menumpang di jasadku,
Bangkitlah manusia sedarlah.

Manusia,
Inilah nyawaku terakhir,
Aku dicemari dan tidak lagi dikunjungi,
Aku terus dibiarkan,
Dibiarkan tanpa dipandang oleh Manusia lain.


Manusia,
Hargailah aku,
Jagalah aku;
Janganlah biarkan aku dicemari,
Kerana aku akan berkekalan dan berbakti sampai ke cucu cicitmu.

Manusia,
Inilah nafkah diriku,
Supaya aku tidak menjadi seperti sahabatku yang lain;
Peliharalah aku,
Kerana aku ingin terus berbakti kepadamu manusia.


PANTUN: ILMU PENYULUH HIDUP

Bunga kemboja menjadi pilihan,
Untuk diberi kepada sahabat;
Ilmu dipuja dijadikan amalan,
Untuk dihayati sepanjang hayat.

Daun selasih buah bidara,
Intan dicari di taman bunga;
Hidup berkasih budi bicara,
Hidup berilmu sampai ke Syurga.

Buah ciku beli di kedai,
Untuk dihidang keluarga Pak Usup;
Ilmu itu sangat bernilai,
Kerana ilmu penyuluh hidup.

Tinggi-tinggi sayangku padanya,
Tinggi lagi cintaku pada Tuhan;
Belajarlah tinggi tiada gunanya,
Kalau ia tidak dimanfaatkan.

Burung layang- layang terbang selari,
Hinggap seekor di Bandar Jawa;
Carilah ilmu seikhlas hati,
Kerana ilmu sangat berharga.

Siapa Yakjuj Makjuj?

Rupa yakjuj makjuj (gambar hiasan)
Kita sekarang berada di abad yang bermacam-macam variasi, adakalanya orang namakan dengan abad muthakhir/ abad terakhir. Akan tetapi apabila dikaji dalam al-quran dan hadis rasulullah S.A.W zaman ini adalah zaman permulaan atau tanda kiamat besar. Cuba perhatikan balik, sekarang banyak kejadian alam berlaku seperti gerhana, gempa bumi, pencemaran udara, keangkuhan manusia, manusia kejam, manusia zalim dan manusia rakus, semua itu disebabkan oleh kesesakan hati yang telah tergambar jelas dalam bermacam tragedi. Daripada tanda-tanda masyar tersebut atau tanda kiamat apabila kedatangan dua bangsa penghancur binasa muka bumi iaitu yakjuj makjuj. Sebelum berlakunya kiamat, yakjuj makjuj akan turun di sebelah utara dunia. Mereka melakukan kerosakkan dan penindasan di atas muka bumi. Mereka akan bermaharaja lela membunuh, menindas, mengahancurkan sekali gus merebut kekuasaan di atas muka bumi. Orang-orang Islam dan beriman pada waktu itu akan mengundurkan diri untuk sementara waktu tapi akhirnya kemenangan akan berpihak kepada orang Islam manakala Yakjuj Makjuj dihancurkan Allah dengan mendatangkan taufan dasyat, hujan api, air batu serta penyakit yang mudah berjangkit untuk meragut nyawa mereka. Kononnya Yakjuj Makjuj ini suatu makhluk badan besar, usia panjang, mempunyai wajah yang bermacam-macam, ada telinga besar badan pendek. Makanan mereka pula terdiri daripada rumput-rumput, bangkai, pohon kayu, binatang dan sebagainya. Yakjuj Makjuj ini boleh dikatakan sebagai makhluk bengis dan sangat mengerikan.
Keratan Artikel Mengenai Yakjuj Makjuj


Khamis, 26 Mei 2016

DIKIR BARAT SENI WARISAN MASYARAKAT KELANTAN

Kumpulan Dikir Barat (gambar hiasan)
Dikir Barat merupakan budaya masyarakat Kelantan yang paling popular sejak dahulu lagi. Dikir Barat seperti tidak boleh dipisahkan dalam jiwa masyarakat Kelantan tidak kira tua atau golongan muda. Dikir Barat wujud dalam kalangan masyarakat biasa yang tinggal di kampung-kampung dan pinggir bandar. Terdapat satu kumpulan dalam setiap persembahan Dikir Barat yang akan diketuai oleh seorang tukang karut dan Tok Jogho (Tok Juara). Tukang karut dan Tok Jogho (Tok Juara) ini akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir Barat biasanya dipersembahkan sebagai hiburan dan ada juga untuk dipertandingkan. Dikir Barat pada suatu ketika dahulu hanya dimainkan oleh masyarakat pada musim menui padi dan juga di majlis perkahwinan tetapi pada hari ini Dikir Barat dijadikan sebagai salah satu hiburan dan dimainkan tidak kira masa. Perkembangan Dikir Barat agak sukar untuk diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Dikir Barat dikatakan agak baru lagi kerana muncul selepas teater tradisional yang lain. Di Kelantan ianya lebih dikenali dengan nama Dikir Barat tetapi sebaliknya di Selatan Thai mereka lebih mengenalinya dengan Dikir Karut.

Mengikut beberapa pendapat mengenai asal-usul Dikir Barat ia berasal dari Selatan Siam, Pulau Tebu dan merupakan Ciptaan Pak Leh Tapang. Ada yang mengatakan Dikir Barat berasal dari  Selatan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

Dikir Barat berasal dari Pulau Tebu pula kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan Dikir Barat, ramai orang menganggap Dikir Barat sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar. Manakala Dikir Barat berasal dari ciptaan Pak Leh Tapang kerana ramai orang mengenali beliau melalui Dikir Barat. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkannya.

Setiap pasukan atau kumpulan Dikir Barat terdiri daripada seorang tukang karut, seorang Tok Jogho (Tok Juara) dan beberapa orang awak-awak (antara 10-20 orang). Tukang Karut adalah orang yang paling penting dalam setiap kumpulan Dikir Barat. Tugas Tukang Karut yang paling penting sekali ialah berpantun dan bersyair. Pantun-pantun dan syair itu didendangkan dengan cara spontan mengikut seleranya. Maka idea-idea, isi-isi puisi itu, bahasa dan persoalan yang dikemukakan tanpa berfikir dua kali. Kebiasaanya Tukang Karut ini diambil daripada kalangan orang yang banyak idea dan pengalaman.

Tok Jogho (Tok Juara) juga orang yang penting selepas Tukang Karut. Tok Jogho ini biasanya akan berdikir sebelum Tukang Karut mengambil alih untuk mengarut. Kadangkala, Tok Jogho juga terpaksa mengarut iaitu di waktu Tukang Karut belum tiba. Tok Jogho berdikir sambil duduk di sepanjang permainan, tetapi Tukang Karut mendendangkan karutnya sambil berdiri. Manakala awak-awak pula ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu permainan Dikir Barat. Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada muda mudi belasan tahun. Gelaran awak-awak ini diambil sempena daripada nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil “Jeragan” jadi keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awak-awak dalam permainan Dikir Barat yang di bawah jagaan ketua mereka, iaitu Tok Jogho.

Peralatan muzik (gambar hiasan)
Peralatan muzik dalam Dikir Barat terdiri daripada rebana ibu dan anak. Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan bebulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan yang dibuat daripada kayu yang tidak dalam (5-6 inci dalam). Belulang dikemaskan dengan menggunakan pancang kayu antara cincin dan bahagian bawah badannya. Rebana Anak lebih kecil daripada rebana ibu. Tetawak pula diperbuat daripada perunggu berbentuk bulat. Dindingnya tebal, berbusut di tengah-tengah permukaannya. Picnya lebih tinggi dari gong agung. Biasanya tetawak ini digantung dan dipalu busutnya. Selain itu, marakas juga turut digunakan. Sepasang marakas digunakan dalam setiap persembahan Dikir Barat. Ia biasanya dibuat daripada kayu atau plastik dan tempurung kelapa. Kayu yang digunakan dilarik, dilicinkan dan dibentuk bulat seperti bola. Di dalamnya dimasukkan biji-biji batu kecil untuk menghasilkan bunyi. Kayu pemegang dipasang untuk memudahkan pemain memainkannya. 
    
Diantara lagu-lagu Dikir Barat yang terkenal ialah Karut Kelantan Cepat, Karut Kelantan Anjur (Perlahan), Karut Petani, Karut Wok Yoh, Karut Pendek, Karut Yengki Cepat, Karut Yengki Anjur, Karut Yengki Tengahan, Karut Yengki Ding Ding, Karut Hala, Karut Selampit, Karut Menora, Karut Jenaka Mak Yong dan Karut Wau Bulan. Dikir Barat juga mempunyai tiga jenis irama iaitu irama asli, irama padang pasir dan irama Hindustan.





MARI MENGENALI KONSEP CEREKA IMBASAN



LATAR BELAKANG CEREKA IMBASAN


Karya  berbentuk  cereka  sama ada genre novel atau cerpen, tidak cenderung dalam menggambarkan ketepatan fakta seratus peratus. Ianya memuatkan isi kandungan dan peristiwa yang direka-reka oleh pengarang walhal peristiwa tersebut tidak pernah terjadi, tidak akan terjadi, atau ia cuma dalam imaginasi, ilusi, intuisi dan halusinasi pengarang sahaja. Namun begitu, idea awal, subjek dan bahan cerita boleh diambil daripada realiti objektif, iaitu persekitaran kehidupan yang serba mencabar ini.


Pada 19-21 September 1997, Perkampungan Penulis Gapena II (PPG II) telah melontarkan idea untuk membentuk cerpen pendek di Rumah Rehat Bukit Mertajam. Ternyata, idea itu memberikan reaksi positif terhadap beberapa orang teman pengarang/penulis sewaktu cadangan dikemukakan. Penulisan cerpen pendek telah dimulakan oleh Zainal A, diikuti Mohd. Kassim Mahmud, Fazallah Pit, Azizi Haji Abdullah, dan ramai lagi. Namun begitu, kehadiran cerpen berbentuk pendek ini juga mendatangkan persepsi positif dan negatif daripada gaya penulisan pengarang. Pandangan positif yang diutarakan adalah kewajaran karya cerpen pendek hadir dalam jagat pencerpenan di tanah air manakala dari sudut pandang negatif pula penulis menyatakan keraguan dengan mengandaikan sesuatu yang negatif akan terjadi kepada pengarang dan cereka itu sendiri. 


Di Barat, cereka imbasan atau cereka mikro sangat popular, terutama atas inisiatif, kepekaan dan keprihatinan para sarjana dan peneliti kesusasteraan seperti Robert Sharpard di University of Hawai, James Thomas di Wright State University of Ohic dan Tom Hazka, editor Quarterly West. Mereka telah mengantologikan cerpen pendek seperti Sudden Fiction (1996) yang mengandungi 60 cerita pendek, Flash Fiction (1992) memuatkan 72 buah cerita pendek dan Mikro Fiction (1996) yang memuatkan 57 buah cerpen pendek yang jumlah perkataan dalam karya tidak melebihi 250. 

Image result for imej buku
Buku Cerpen (Sekadar Hiasan)

Kepanjangan cerpen pendek di antara 1 hingga 5 halaman A4. Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988:5), bentuk cerpen pendek lebih pendek daripada cerpen iaitu mengandungi antara 500 hingga 2000 patah perkataan. 

 Kebiasaannya, cerita akan diakhiri dengan peristiwa yang mengejutkan atau tidak diduga. Sementara itu, Writer’s Encyclopedia (1996:302) mentakrifkannya sebagai cerita yang mengandungi 1500 patah perkataan atau kurang daripada itu. Isaac Asimov, pengarang cereka sains Amerika Syarikat, dalam buku selenggaraannya yang berjudul Short Science Fiction Novels (1986), mengkategorikan jumlah perkataan dalam cerpen pendek di antara 1000 hingga 2000. 
 
          Cerpen Melayu pertama berjudul “Kecelakaan Pemalas” oleh Nor Ibrahim Madrasi tersiar dalam Majalah Pengasuh pada sekitar tahun 1920 dan dikategorikan sebagai cerpen pendek atau cereka imbasan kerana kependekan fizikalnya. Kependekkan cerpen yang dikarang oleh beliau hanya merangkumi 4 halaman kertas saiz A4 sahaja. Selain itu, cerpen Zahara J.Ariff yang berjudul “Tamu” yang tersiar dalam Dewan Sastera pada tahun 1972 juga merupakan salah satu cerpen yang dikategorikan sebagai cerpen pendek sekaligus berjaya merangkul kejayaan dengan memenangi karya Hadiah Sastera 1971. Hal ini kerana demikian, cerpen “Tamu” memperlihatkan penghematan bahasa yang cukup baik dan pengarang berjaya menyampaikan cerita biasa dengan baik dalam bingkai atau frame yang begitu sempit. 

  
HARAPANMU

Ayah,
Aku semat pesanmu
bahawa hidup ini satu perjuangan
yang berusaha akan berjaya
yang malas akan kecundang

Ibu,
Aku pegang segala nasihatmu
bahawa perjuangan ini satu pengorbanan
yang berjaya akan ke menara
yang gagal akan rebah

Ayah dan ibu,
Sejak dahulu mereka bercita-cita
ingin melihat aku berjaya
supaya membela nasib keluarga
sebagai pedoman di hari muka

Terima kasih ayah dan ibu
pesan nasihatmu ku ingat selalu
menjadi pendorong di hari muka
menjadi pedoman di kala alpa