Azharina menapak masuk ke Pusat
Latihan Khidmat Negara (PLKN). Dia menyedari ramai orang memandang dirinya. Dia
cuba melontarkan senyuman. Tapi, tiada yang membalas. Azharina menundukkan
pandangan. Usai mendaftarkan diri di meja pendaftaran, pemeriksaan beg
dilakukan oleh jurulatih PLKN. Sangkanya, dia terlepas daripada melakukan
kesalahan. Tetapi, bekalan ubat-ubatan yang dibawa dari rumah telah dirampas.
Azharina terlopong. “Ubat dilarang sama sekali,” bicara jurulatih lelaki itu. Azharina mengetap
bibir.
Azharina berasa hairan.
“Maafkan saya Encik, mengapa ubat-ubatan saya dirampas. Ianya satu kesalahan
juga?” Azharina memberanikan diri bertanya kepada jurulatih tersebut. Jurulatih
itu memandang wajah kelat Azharina. Matanya menyorot memandang tubuh badan
Azharina. Ehem.. Azharina berdehem. “Ubat dilarang sama sekali Cik,” ulang
jurulatih lelaki tersebut.
“Bawa ubat tidak menjadi kesalahan.
Yang menjadi kesalahannya, apabila ubat disalahgunakan oleh peserta. Kami tidak
membenarkan ubat berada di bawah simpanan Cik. Di sini, kamu semua berada
di bawah tanggungjawab kami. Kalau sakit, boleh mengadu kepada Felo Dorm
masing-masing,” bicara jurulatih perempuan dengan panjang lebarnya. Azharina
mengangguk-angguk perlahan. Memahami tugas jurulatih yang diamanahkan.
Perjalanan dari dewan
makan ke kolej kediaman atau dipanggil sebagai Dorm memakan masa 15 minit.
Azharina membimbit beg pakaian menuju ke Dorm 7. Sepanjang perjalanannya menuju
ke Dorm 7, Azharina menyedari ada mata mata yang menyoroti dirinya. Tetapi dia
buat endah tidak endah sahaja. Sudah menjadi kebiasaaan, dirinya menjadi
tatapan umum orang ramai. Dia menarik nafas lega memandang satu deretan Dorm yang
menempatkan lebih kurang 30 orang peserta PLKN.
Sewaktu ingin memasuki
pintu Dorm, Azharina berselisih bahu dengan seorang gadis seusia dengan
dirinya. Hanya gadis itu insan pertama yang menguntumkan senyuman manis dan
ikhlas. Hatinya berbunga-bunga riang. Azharina tidak sabar ingin berkenalan
dengan rakan baharunya di sini.
“Awak asal mana Aishah,”
tanya Azharina. Setahu Azharina, majoriti daripada peserta yang ditempatkan di PLKN Cheneh, Hulu Terengganu ialah
Kelantan, Terengganu dan Pahang sahaja.
“Kelantan,” tutur Aishah
sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Azharina. “Awak asal Pahang ya
Rina,” duga Aishah. Azharina menganggukkan kepalanya. “Pandai Aishah teka,”
puji Azharina. “Dengar slang pon dah tahu,” balas Aishah selamba. Mereka
sama-sama tergelak.
Hari berganti hari.
Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Masa semakin mengejar. Sebulan
sudah berlalu. Pusat Latihan Khidmat Negara benar-benar mengajar erti kehidupan
bermasyarakat. Disiplin diri menjadi banteng utama yang diterapkan kepada
peserta PLKN. Bukan sahaja dilatih berdisplin, malah ketepatan masa, kecekapan
bekerja, kebolehan berkomunikasi, jati diri dan sebagainya.
“Aishah, kita pergi tasik
lepas makan petang, nak tak,” ajak Rina sambil menjungkitkan kedua-dua
keningnya. “Tasik? Hari-hari kot kita disuruh lari keliling tasik,” beritahu
Aishah sambil mengerutkan dahinya. “Nak tak,” desak Rina sambil memaut
lengan sahabatnya, Aisyah. “Iya. Baik tuan puteri Rina,” usik Aishah
sambil mengenyitkan matanya. “Ke situ pula,” mata Azharina dicerlung. Bahu
Aisyah ditepuk lembut.
Angin sepoi-sepoi bahasa
menyentuh lembut pipi mulus Aishah. Azharina turut menikmati angin petang di
tasik Kem mereka. Hari itu hari minggu. Ramai ahli keluarga kawan-kawan mereka
yang datang melawat. Terasa kebahagian menjalar memandang kemesraan keluarga
yang datang melawat.
“Aishah, Ummi dengan Abah
tidak datang melawat,” tanya Azharina sambil kakinya menguis-nguis daun-daunan
kering. “Tak. Jauh la Rina. Dari Kelantan ke Hulu Terengganu. 5 jam
perjalanan,” keluh Aishah. “Ibu bapa Rina macam mana?” Azharina diam membisu.
Azharina tersenyum kelat. Sepi membisu. Tiada jawapan daripada Azharina.
“Aishah. Rina nak minta
maaf,” tutur Azharina perlahan. Aishah mengerutkan dahi. Azharina meraih tangan
Aishah. Aishah terpinga-pinga. “Rina dapat tahu, Aishah dipinggir oleh sahabat
baik Aishah. Kerana bersahabat dengan Rina,” bicara Azharina lembut. Kelopak
mata Azharina mula basah. “Jangan cakap macam tu,” Aishah mengeleng-ngelengkan
kepalanya. Tangan Azharina digenggam kemas. Aishah tidak ingin Azharina membuat
tafsiran sendiri mengenai hubungan dia dengan sahabat baiknya, Syafiqah.
Syafiqah iri hati. Iya! Syafiqah iri hati disebabkan Aishah menempatkan
Azharina di tempat yang istimewa. Hati Aishah galau. Antara Syafiqah dan
Azharina. Kenapa dia harus memilih? Hati Aisyah diruntun hiba. Kedua-duanya
insan yang disayangi. Aishah dilema.
Aishah bijak menyembunyikan
perasaannya. Tetapi Azharina dapat mengecam wajah duka Aishah. Pernah Azharina
melihat Aishah menangis sendirian. Bila ditanya, Aishah mengeleng-ngelengkan
kepala. Aishah sering berdalih. Kerana dia. Hubungan Aishah dan Syafiqah
menjadi renggang. Azharina sedar. Syafiqah tidak pernah selesa berkawan
dengannya. Azharina juga pernah makan hati dengan perbuatan Syafiqah. Mungkin
niatnya murni, tetapi Azharina tidak suka!
“Aishah,
Rina nak minta tolong supaya kembalikan deodoran ini kepada Piqah. Rina tak
suka!” kata Rina kepada Aishah yang sedang melipat kain bajunya di atas katil.
Aishah menganggukkan kepalanya. Badan Azharina berbau. Itu juga menjadi salah
satu penyebab ramai yang tidak ingin mendampinginya. Tetapi, Aishah sangat kuat
mengenepikan perasaan tidak senang itu. Semata-mata tidak ingin melihat
Azharina keseorangan. Aishah, seorang gadis berjiwa lembut. Dia tidak memilih
sahabat dari golongan kaya atau miskin.
“Rina, kita Hamba Allah.
Semuanya sama dimata Allah. Hanya Iman dan Takwa yang membezakan kita. Allah
tidak melihat kepada paras rupa kita. Buktinya, dalam lipatan sejarah kenabian,
Bilal Bin Rabah, seorang lelaki berkulit hitam menjadi hamba Allah yang
dijanjikan syurga. Mengapa? Kerana dia hamba yang taat kepada Allah dan
Rasulullah,” jelas dan tersusun butir bicara Aishah.
“Terima Kasih Aishah,”
ujar Azharina seusai mereka selesai solat maghrib berjemaah bersama. Azharina
akui. Dia datang daripada keluarga yang miskin. Banyak kekurangan. Menelusuri
jalan-jalan hidup yang berliku ini, Azharina acap kali mengeluh. Semenjak
bertemu dengan Aishah, Azharina berasa tenang. Wajah Aishah menghantarkan
kedamaian pada mata-mata yang melihat dirinya. Bukan sahaja wajahnya yang lembut,
sikap dan perilakunya sangat terjaga. Azharina tidak pernah mendengar Aishah
mengeluarkan perkataan mencarut. Semuanya tertib dan tersusun indah. “Alangkah
bahagia jika Aishah itu aku!” getus Azharina sendirian.
Hari itu jalan berbukit
licin. Pagi tadi hujan renyai-renyai. Peninjauan tempat dan lokasi tapak
perkhemahan didedahkan sebelum peserta menjalani latihan perkhemahan di hutan
selama 2 malam 3 hari. Aishah menyedari muka Azharina pucat. Mungkin menahan penat.
“Rina, awak okey tak?
Aishah bertanya sambil memaut lengan Azharina untuk mengagahkan dirinya mendaki
jalan berbukit. Rina hanya tersenyum hambar. Aishah risau memikirkan kesihatan
Azharina. Bukannya dia tidak tahu, Azharina tidak sihat. Keterujaan Azharina
untuk bermalam di hutan menjadikan Aishah tidak keruan. Azharina berdegil mahu
mengikut walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
“Macam Mana Rina.
Seronok,” tanya Aishah sambil menepuk lembut rakannya.
“Sangat, yang paling
seronok dapat makan nasi putih dengan ikan sardin yang dimasak sendiri atas
bara api. Rasa lebih enak daripada makan yang dimasak pakai dapur gas,” luah
Azharina dengan panjang lebar.
Aishah tahu Azharina
jarang menikmati suasana gembira bersama kawan-kawan begini. Kem PLKN membuka
peluang kepada Azharina meneroka alam luar, mengenali sahabat-sahabat dari
negeri berlainan, mendidik jati diri dan disiplin dirinya. Sebelum malam
menjelma, Azharina akan bercerita dengan penuh bersemangat tentang apa yang dilaluinya kepada Aishah.
Aishah gembira melihat Azharina gembira.
Menuruni jalan berbukit,
memerlukan mereka untuk lebih berhati-hati. Aishah masih setia memimpin
Azharina. Wajah Azharina pucat. Aishah semakin risau dengan keadaan diri
rakannya. Badan Azharina semakin lemah. Aishah tiada kudrat untuk memimpin
sahabatnya yang jauh lebih besar daripada dirinya. Beberapa sahabat lain
berusaha membantu Aishah memangku Azharina. Azharina dimasukkan ke Klinik yang
terdapat dalam Kem itu. Prestasi kesihatan Azharina menurun.
“Rina, kuatkan semangat.
Aishah ada kat sini,” ujar Aishah sayu melihat Rina yang sukar menarik nafas.
Rina mengangguk lemah. Aishah menunggu di ruangan luar. Jari jemari halusnya
digunakan untuk bertahlil, bertasbih, bertahmid. Aishah menjadi risau sendiri.
Teringat kata-kata Azharina pada suatu malam.
“Aishah. Rina nak bagitahu Aishah sesuatu.
Tapi Aishah janji jangan bagitahu orang lain, tau,” bisik Azharina.
“InsyaAllah, apa dia Rina? balas Aishah perlahan. “Rina ada penyakit buasir.
Rina pernah masuk hospital disebabkan penyakit Rina ni. Lagi satu, Rina ada
penyakit dalam perut. Cuma Rina belum pasti, apa yang ada dalam perut ni. Sebab
tu orang tengok Rina macam orang mengandung. Yelah, perut memboyot kan,” ujar
Rina sambil gelak kecil mendengar telahannya sendiri. Aishah terkedu. Dia masih
boleh ketawa kecil menceritakan tentang penyakit misterinya. Aishah berasa
serba salah. Mahu ketawa, rasanya tiada yang melucukan. Aishah menganggukkan
kepalanya perlahan. Dia tersenyum dalam duka. Rupa-rupanya, di sebalik
kegembiraan yang dipertontonkan, Azharina jauh lebih kuat dan tabah darinya.
Azharina masih mampu bertahan dengan penyakit misterinya sehingga detik, saat,
dan ketika ini. “Sungguh, Tiada daya dan upayaku melainkan dengan kehendakNya,”
tutur Aishah halus.
“Aishah. Jom balik,” ajak
Rina sambil menepuk-nepuk bahu Aishah yang sedang mengelamun. “Dah boleh
balik,” tutur Aishah. Ya. Azharina menganggukkan kepalanya. Tangan Azharina
diraih dan disilang masuk ke dalam lengannya. Mereka dihantar ke kolej kediaman
dengan menaiki Van yang dikhaskan untuk menghantar pesakit.
“Aishah. Terima Kasih.
Sudi jadi sahabat susah dan senang. Rina belum pernah berjumpa dengan orang
macam Aishah. Biasanya orang akan pandang jijik dengan Rina,” ucapnya dengan
nada sayu. Tubir matanya berkaca.
“Sama-sama Rina. Islam
mewajibkan kita bersaudara. Jangan Rina fikir antara kita ada keterbatasan atau
jurang yang memisahkan. Aishah hamba Allah. Begitu juga dengan Rina. Kita tiada
apa-apa. Semuanya milik Allah,” ujar Aishah menyakinkan Azharina tentang
kepastian itu.
Mereka berpelukan.
Azharina menangis. Menangis mengenangkan dosa-dosanya yang sering mengutuk
kekurangan dirinya sendiri. Padahal, apa yang ada di tubuhnya adalah milik
Allah yang dipinjamkan kepadanya. Azharina sudah tidak peduli dengan
mulut-mulut manusia yang melontarkan kata-kata hinaan. “Biarlah buruk dimata
manusia, asalkan bernilai di mata Allah,” pujuk Azharina menenangkan hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan