Selasa, 31 Mei 2016

8 CARA MELERAI KERESAHAN HATI


TIPS MELERAI KERESAHAN HATI

Gambar Hiasan Hati Remuk



Pulanglah ke pangkuan Allah s.w.t
Ingatlah tidak ada sesuatu yang boleh mendatangkan kemudharatan kecuali dengan izin-Nya. Berserahlah kepada-Nya kerana Dia sentiasa berada di sisi hamba yang mengingati-Nya. Dia juga yang akan memberi kekuatan kepada mereka di waktu kesusahan.

    Solat

Jangan sesekali meninggalkan solat. Solat merupakan tiang agama bagi seorang mukmin. Ianya akan mengukuhkan hubungan hamba dengan Pencipta Agung iaitu Allah s.w.t disamping menguatkan jiwa dan semangat untuk meneruskan kehidupan mengikut kehendak-Nya.

      Membaca surah Al-Dhuha (Waktu Dhuha) dan Al-Syarh (Kelapangan)

Surah Al-Dhuha mengingatkan kita bahawa Rasullah pernah berasa tertekan dengan ejekan orang Quraisy di Mekah kerana sekian lama tidak turunnya wahyu. Kemudian Allah s.w.t menurunkan ayat 1-3, “Demi waktu dhuha, dan demi malam apabila telah sunyi, Tuhanmu tidak meninggalkanmu (Muhammad) dan tidak pula membencimu”.
Dalam surah Al-Syarh, ayat 5 hingga 6, Allah berfirman maka sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan. Ayat ini diturunkan disebabkan kaum Musyrik memperkecilkan kaum Muslimin kerana kemiskinan mereka. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda berbahagialah kamu sekalian kerana kemudahan telah datang kepada kamu. Ketahuilah sesungguhnya satu kesulitan tidak akan pernah mengalahkan dua kemudahan.” Maka Allah s.w.t menurunkan ayat ini. 

   Berzikir dengan menyebut nama-nama Allah

Allah s.w.t mempunyai banyak nama yang indah yang memperlihatkan sifat dan kekuasaanNya. Menyebut nama-nama Allah itu mengingatkan kita tentang sifatNya. Antaranya sifat Maha Pengasih, Penyayang,Pengampun, Adil, Berkuasa, dan sebagainya. Hanya kepada-Nya kita perlu meletakkan harapan semasa susah mahupun senang.  

    Ringankan lisan menyebut ‘hasbun Allahu wa ni’mal wakiil’

Ayat ini telah dibaca oleh Nabi Ibrahim a.s ketika baginda hendak dibakar, dan dengan izin Allah, api itu menjadi dingin dan baginda terselamat. Rasulullah s.a.w juga diriwayatkan membaca kalimah ini secara berulang sewaktu perang Badar, dan Allah s.w.t memberi kemenangan kepada Baginda.

    Melazimi lisan dengan membaca Taawudz

Syaitan sering menggoda dan menanamkan perasaan negatif dalam hati manusia. Syaitan juga menyemai rasa tidak puas hati, tidak bersyukur, bersangka buruk dan sebagainya. Oleh itu, mohonlah perlindungan Allah s.w.t daripada syaitan dengan membaca, A’uzubillahi minasyaitan nirajim’.

   Lihatlah mereka yang di bawahmu

Jika kita berasa susah, miskin, sedih dan sebagainya, maka ingatlah bahawa ada orang yang lebih susah, lebih miskin, lebih sedih daripada kita. Oleh itu, panjatlah doa dan kesyukuran kepada Allah di atas ujian-Nya. 

   Melakukan Kebajikan 

Salah satu cara bersyukur ialah melakukan kebaikan kepada orang lain, terutama mereka yang lebih susah. Lakukannya dengan keikhlasan. Kita akan berasa lebih tenang dan bersyukur kerana melihat kepayahan mereka, masalah akan terasa lebih kecil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan