![]() |
Gambar Hiasan |
UNTUK BAPA
Wan Safrie Oyong
Keadaan sunyi sepanjang perjalanan. Aku hanya berdiam seribu bahasa. Tidak tahu memulakan perbualan ketika ini. Perlahan-lahan ku gerakkan anak mataku untuk mencuri-curi pandang ke arah wajah bapa. Sesekali aku alihkan. Takut bapa sedar yang aku sedang melihatnya. Penuh debaran aku menanti bapa untuk memulakan perbualan. Ku yakin kali ini bapa mesti meluahkan rasa marah dan kecewanya cukup-cukup kepadaku. Anggapku bapa masih kesal di atas tindakanku sehingga menyebabkan aku dibuang sekolah.
Baru sahaja aku dan bapa balik daripada sekolah untuk membuat rayuan kepada pihak pentadbiran agar dapat menerima semula aku di sekolah tersebut. Tapi rayuan bapa ditolak. Manakan tidak, masalah disiplin yang aku lakukan kali ini agak berat. Aku bergaduh dengan menggunakan senjata. Sebilah pisau lipat milik kawanku. Walaupun pada hakikatnya aku tidak menggunakan pisau tersebut untuk mencederakan lawanku.
Niatku ketika itu hanyalah untuk menakut-nakutkannya agar dia tidak berani untuk berlaga denganku. Semua ini kerana adikku semata-mata. Adik aku telah dibuli olehnya. Mentanglah dia lebih senior daripada adikku, sesuka hati dia sahaja membuli. Mungkin dia tidak tahu aku abangnya. Adik aku baru sahaja masuk ke sekolah tersebut, masih meraba dan buta berbanding dia dan aku.
Pantang sekali keturunanku diusik. Sedangkan cikgu pun ku ajak bergaduh hanya kerna menyebut nama bapaku semata-mata hendak memarahiku. Ku bangkang sekeras-kerasnya tindakan cikguku itu. Kenapa harus bapaku dilibatkan di atas kesalahan yang aku lakukan. Memang dasar cikgu tidak berakal.
Pernah sekali aku mengajak cikgu untuk bertumbuk denganku hanya kerana memarahi adikku didepan orang ramai. Kasihan sungguh aku terhadap adikku. Aku turut merasai malu yang ditanggungnya ketika itu.
Rancanganku pada ketika itu tidak berjaya. Ternyata lawanku kali ini tidak gentar terhadapku. Dia malah mencabarku untuk bertarung dengan tangan kosong. Tercabar kejantananku pada ketika itu.
Bersungguh dia untuk mencuba kudratnya denganku. Hasilnya terjadi pergaduhan antara kami. Pisau tersebut kucampak ke dalam tong sampah. Dengan pantas langkah ku atur seiring dengan kudrat. Dia juga turut maju. Ibarat buku bertemu raus.
Ketika itu, sudah ramai pelajar-pelajar lain yang mengerumuni kawasan pergaduhan kami, menyebabkan keadaan menjadi huru-hara. Sehinggalah sampai kepada penglihatan guru disiplin sekolah itu. Guru disiplin yang sememangnya setiap pelajar takuti dan geruni. Dia digelar singa kerana bengisnya tidak mengenal siapa. Sekalipun pelajar perempuan turut merasa penangan dari telapak tangannya.
Kehadiran cikgu disiplin tersebut dengan pantas menyebabkan pergaduhan kami terhenti. Aku belum berpuas hati untuk memberi pengajaran kepada lawanku itu, tapi sempat juga aku mengajar dia akan erti sakit hasil daripada pukulan derasku, yang sememangnya digeruni oleh pelajar-pelajar lain di sekolah itu kerana pernah menundukkan kejantanan seorang samseng di sekolah tersebut.
Aku bukan juga samseng seperti dalam filem melayu. Aku cuma nakal. Nakal yang masih tahu untuk menghormati orang-orang tua. Terutama sekali ibu dan bapaku sendiri. Kerna aku dididik dengan pendidikan sedemikian sejakku merangkak lagi.
Tanpa melayan rasa ketidakpuasan hatiku, aku lari meninggalkan situasi dan lokasi itu. Laju langkahku kerna takut tertangkap oleh cikgu singa tersebut walaupun kedudukan darahku masih lagi ditahap tertinggi akibat rasa marah yang melampau. Akhirnya aku lepas jua dari cikgu disiplin itu, namun pada petangnya aku mendapat surat penggantungan sekolah tanpa tarikh daripada pengetua sekolah tersebut.
Pengetua itu sememangnya sudah membenci keberadaanku di sekolah yang tidak mendatangkan manfaat sikitpun padanya. Entahlah, mungkin disebabkan aku pernah melawan cakapnya hanya kerna dia hendak menggunting rambutku suatu ketika dahulu. Ataupun dia masih lagi ingat wajahku yang melarikan diri untuk mengelak daripada tertangkap olehnya lantas menyimpan dendam terhadapku.
Uhh! Aku memang seorang budak yang nakal. Ku akui itu. Kerana tiada seorang pelajar pun yang berani untuk melakukan perkara-perkara yang pernah aku lakukan sewaktu zaman kegemilanganku. Kenakalanku mungkin yang menyebabkan aku dilabelkan sebagai pelajar samseng di sekolah tersebut. Namaku memang tercorot dan disenarai hitamkan.
Kes sebelum ini yang pernah aku lakukan adalah memukul seorang ustaz. Itupun kerana ustaz tersebut yang memukulku terlebih dahulu. Sudah tentu aku membuat tindakan rifleks. Ya! Aku bukannya tunggul yang hanya berdiam sedang orang lain berusaha untuk menyakitiku. Huh! Cerita itu sudah lama, aku letih untuk memikirkan tentangnya lagi. Ustaz tersebut juga telah berpindahkan sekolah tempat mengajar yang baru.
“Ehemm…”
Kedengaran bunyi suara bapa melepaskan batuk yang padaku sengaja direkanya bagi mengisi kesunyian. Terhenti serta merta lamunanku. Aku tahu itu tanda-tanda bapa hendak memulakan sesuatu perbualan. Penuh sabar aku menanti.
“Pipi, kau tidak sayangkah dengan pelajaran kau?”
Soal bapa seraya beralih pandang kepadaku sesekali sambil terus focus dengan memandu. Aku hanya berdiam, menanti ucapan seterusnya. Kerana diam sahaja yang aku mampu berbuat pada masa ini.
“Kau tidak rasa menyesal atas perbuatanmu ini? Bapa tidak tahu mahu buat apa lagi. Puas sudah bapa nasihatkan kau agar menjadi anak yang baik.”
Bicara bapa nampak serius. Perlahan sahaja suara bapa, bunyi seperti orang yang sedang berputus asa. Mungkin terlalu kecewa dengan kelakuanku barangkali.
“Kau sepatutnya bersyukur dapat bersekolah. Kalaulah bapa diberi peluang untuk bersekolah, bapa akan belajar bersungguh-sungguh. Bapa akan tumpuhkan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Bapa tidak akan sia-siakan ilmu yang bapa timba.”
Bersungguh-sungguh bapa meyakinkan aku. Aku menjadi pendengar setia tanpa mengeluarkan sebarang bunyi daripada mulutku. Diam sambil menumpuhkan perhatian pada bapa. Sememangnya aku amat menghormati bapa. Setiap nasihatnya ku simpan, walaupun aku sesekali ingkar tapi tidak pernah ku lupakan setiap nasihatnya.
“Tapi… Bapa ini tidak bersekolah. Bapa sungguh-sungguh mahu bersekolah dulu waktu bapa kecil. Tapi apakan daya, atuk kamu tidak mampu untuk menyekolahkan bapa. Bapa membantu atuk kamu untuk menyekolahkan adik-adik bapa. Kerana bapalah abang yang paling sulung. Siapa lagi yang akan membantu atuk kamu pada waktu itu kalau bukan bapa.”
Bapa meneruskan ceritanya. Aku semakin kusyuk mendengar. Waktu ini kulihat seakan ada perubahan pada wajah bapa. Kelihatan sayu. Mula terpancar unsur melankolik di wajah bapa. Aku terus diam sambil memerhati kesayuan wajah bapa.
“Kalaulah bapa boleh kembali semula ke zaman dulu sewaktu bapa kecil dengan kesenangan yang sedikit kita perolehi sekarang ini, bapa akan masuk ke sekolah untuk belajar.” Lama bapa mengambil masa untuk menyambung ceritanya.
Aku mulai memahami. Meski pada ketika ini hati bapa sedang menangis, walaupun pada zahirnya kelihatan tenang. Aku faham kerana aku kenal bapa. Seorang yang tabah, tidak mudah untuk mengalirkan airmatanya di depan sesiapa. Bapa lebih suka menyembunyikan kesedihannya. Sedangkan ketika aruah nenek meninggal dunia sekalipun, bapa tidak mengalirkan airmatanya.
Bukan kerana dia tidak sayangkan nenek, tapi kerana ketabahannya sebagai seorang lelaki. Hanya pada ketika jasad aruah nenek hendak dimasukkan ke dalam liang lahad sahaja baru tertewas ketabahan bapa. Tumpah juga airmata bapa. Sayangnya bapa kepada aruah nenek hanya Tuhan saja yang tahu.
“Dulu, bapa selalu mengintai di luar daripada luar pagar sekolah untuk melihat kawan-kawan lain pergi ke sekolah. Bapa cemburu dengan mereka. Mengalir airmata bapa melihat mereka pergi ke sekolah. Teringin sekali rasanya bapa untuk masuk ke sekolah. Merasai sendiri bagaimana rasanya duduk di bangku sekolah, belajar membaca, menulis dan mengira.”
Kali ini tersentak hatiku diketuk oleh perasaan simpati yang tidak terhingga. Betapa aku kasihan terhadap bapa aku ketika ini. Aku terbayang jika aku berada di situasinya pada ketika itu. Tentu saja jiwaku meronta. Bapa yang sungguh-sunguh mahu bersekolah tetapi tidak berpeluang untuk menuntut ilmu di sekolah, sedangkan aku yang susah payah disekolahkan oleh bapa tetapi tidak langsung menghargai perjuangan serta pergorbanan bapa, malah mensia-siakan harapan bapa.
Ah! Apa sudah jadi dengan aku! Mensia-siakan peluang untuk memperolehi kejayaan. Aku sudah faham apa yang cuba disampaikan oleh bapa.
Sementara itu, bapa mulai memperlahankan nadanya. Seakan dia berada semula di situasi itu lagi. Aku semakin menumpuhkan perhatian kepada bapa. Sikitpun tidak aku berpaling daripada melihat wajah tua bapa. Bapa sudah pun berusia 58 Tahun pada ketika ini. Membesarkan kami seramai 13 orang adik beradik dengan bersusah payah memulas kudrat demi anak-anaknya dan ibu yang tercinta.
Tiba-tiba, terlihat titis-titis jernih di mata bapa. Bermutiara ketika ini bola mata bapa. Aku tahu ianya airmata. Sungguh pada detik ini bapa tidak mampu menahan kesedihannya.
“Kalaulah bapa bersekolah dan mempunyai pelajaran dahulu, kamu semua tidak akan merasai kehidupan yang susah. Tetapi mungkin Allah sengaja menguji bapa. Bapa tetap bersyukur dengan apa yang bapa miliki daripada dulu sehingga sekarang. Bapa yakin Allah telah menentukan kehidupan bapa seperti ini. Bapa redha meskipun bapa terpaksa berhempas pulas untuk mencari rezeki yang halal buat keluarga bapa. Bapa tidak menyesal sebab memang pada ketika itu aruah atuk kamu tidak berkemampuan untuk menyekolahkan bapa.”
Sedikit demi sedikit airmata menerjah kelopak mataku. Ku lihat bapa juga mengalirkan airmatanya. Ah! Sungguh aku tidak mampu menahan kesedihan pada ketika ini. Tidak pernah bapa menceritakan kisah hidupnya yang cukup menghayat hati ini padaku selama ini.
Perlahan-lahan aku palingkan wajahku daripada menatap wajah bapa. Aku tidak sanggup melihat wajah bapa ketika ini, sambil aku menyembunyikan kesedihan aku kepada bapa. Ku biarkan saja airmata yang ku tahan sejak tadi mengalir laju seperti tidak sabar untuk tumpah kerana saling bertolak antara satu sama lain.
Ketika ini wajahku sudahpun berpaling menerusi tingkap kereta. Kereta kancil milik bapa. Kereta yang selama ini diidam-idamkan olehnya, akhirnya dimilkinya juga. Itupun hanya pada ketika usia bapa sudah pun mencecah 51 tahun.
Pernah aku terdengar perbualan bapa bersama ibu. Bapa menyatakan hasratnya untuk membeli kereta sendiri. Dia memberitahu kepada ibu, suatu hari nanti dia akan membeli kereta kancil, keranakereta kancil cantik katanya. Walhal aku tahu, kereta kancil merupakan ‘kereta budjet murah’. Memang itu sahaja kereta yang mampu untuk bapa miliki.
Pada tika itulah aku memasang azam untuk membelikan bapa sebuah kereta yang lebih besar dan mewah berbanding kereta kancil bila aku sudah memiliki wang yang banyak ketika aku dewasa dan mempunyai pekerjaan sendiri kelak.
“Pertama kali bapa masuk ke sekolah dan dapat merasai untuk duduk di bangku sekolah hanya pada ketika bapa sudah pun berkahwin dan memiliki anak.”
Sayu suara bapa. Tidak kuat aku berpaling menatap wajah bapa, kerna aku tidak sanggup menyaksikan kesedihan bapa lagi.
“Itupun disebabkan bapa terpaksa menghadiri mesyuarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) di sekolah tempat abangmu yang sulung belajar dahulu,” sambung bapa.
“Waktu itu bapa sangat seronok sehinggakan tidak dapat menahan airmata bapa. Mengalir airmata bapa, kerana pertama kali dalam seumur hidup bapa dapat merasakan duduk di bangku sekolah. Baru bapa tahu bagaimana rasanya berada di dalam bilik darjah dan duduk di bangkunya,” jelas bapa dengan tersekat-sekat.
Memang tidak dinafikan lagi, bapa sedang menangis ketika ini walaupun dia berusaha untuk menyembunyikannya dariku, namun tertangkap dengan caranya meluahkan bait-bait kata dari mulutnya yang tersekat-sekat.
Kesedihan bapa turut dirasai olehku. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bebannya aku menahan tangisku pada ketika ini. Mahu sahaja aku menangis sekuat hati, meronta, menjerit sedih, melepaskan segalanya. Tapi aku juga punya ego yang kuat dalam hal-hal sebegini. Sama seperti bapa, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi.
Aku berusaha menahan tangisanku walaupun pada hakikatnya aku sedang menangis tak berlagu pada ketika ini. Hanya airmata yang berbicara menjadi kesayuan kisah hidup bapa.
“Bapa rasa sedih sebab kau telah dibuang daripada sekolah. Bapa sedih sebab bapa tidak mahu anak-anak bapa merasai kesusahan hidup seperti yang bapa alami jika tidak mempunyai pelajaran. Cukuplah bapa saja yang merasai semua itu.”
Ya Allah, terusik jiwaku ketika bapa berkata demikian. Seribu penyesalan terasa datang secara tiba-tiba. Tapi untuk aku menyesal pada ketika ini sudah terlambat. Ternyata aku telah menghancurkan harapan bapa terhadapku. Aku terus mendiamkan diri membayangkan kehidupan bapa dalam bayangku seperti yang bapa ceritakan. Aku hanya menantikan bicara seterusnya dari bapa
“Bapa membesarkan kamu semua 13 orang adik beradik penuh dengan kasih sayang. Bapa sanggup membanting tulang mencari duit demi untuk menyekolahkan kamu semua. Terkadang bapa terpaksa menahan lapar sepanjang hari kerana mahu menyimpan duit untuk membayar yuran persekolahan kamu. Kamu tidak pernah tahu!”
“Bapa akan pastikan kamu mendapat pakaian sekolah yang cantik, kasut sekolah yang baru, beg sekolah yang kamu suka. Bapa turuti segala permintaan anak-anak bapa tanpa membeza-bezakan antara satu dengan yang lain. Kerna, dalam dunia ini bapa tidak punya harta yang paling bernilai selain daripada kamu semua. Kamulah harta yang bapa ada, yang akan menjaga bapa dengan ibu kamu bila bapa sudah sakit dan tidak berdaya lagi. Tiada harta yang paling bernilai bagi bapa melainkan anak-anak bapa kesemuannya.”
Semakin deras airmataku melimpah keluar membasahi rongga-rongga wajahku. Aku sudah tidak kuat lagi untuk terus mendengar kisah sedih bapa. Mahu saja aku keluar daripada kereta. Aku segan untuk berpaling wajah ke arah bapa dengan airmataku yang sebegini. Bagaimana aku harus menyembunyikan lagi kesedihanku, sedangkan kisah hidup bapa cukup sayu untukku tangani dengan egoku ini?
Terasa hidungku berair tanpa aku sedari. Tiada persiapan untuk aku hadapi situasi ini. Perlahan-lahan tanganku angkat untuk mengesat air yang mengalir keluar menerusi lubang hidungku. Penuh berhati-hati agar bapa tidak perasan tujuanku.
Aku elakkan untuk menariknya mengunakan nafas bagi memastikan tiada kesan bunyi yang memecahkan belangku pada ketika ini. Takut saja bapa tahu yang aku menangis. Bukan kerna apa, tapi aku malu bapa tahu yang aku menangis. Mungkin disebabkan aku ego. Ya… memang aku ego!
“Ehemm…ehemmm…”
Sengaja aku lepaskan batukku yang semenjak tadi aku tahan bagi mengisi suasana melankolik waktu itu. Sudah tidak mampu aku menahannya lagi. Tapi itu pun dengan penuh berhati-hati. Lembut saja aku lepaskan.
“Pipi, kau ingatlah pesan bapa ini sampai bila-bila. Orang-orang yang berjaya itu bukanlah orang-orang yang tidak pernah gagal dalam kehidupannya, tapi orang-orang yang setelah gagal dia bangkit semula dan belajar daripada kegagalannya.
Bapa bersuara kembali setelah beberapa ketika bapa menyeyapkan diri. Kali ini bapa bertukar topik. Mungkin bapa sudah tidak mampu untuk kembali ke masa lalunya yang penuh nostalgia. Kali ini ucapan bapa berbunyi nasihat. Satu nasihat yang betul-betul bapa tujukan padaku. Nasihat yang betul-betul bagiku berkaitan dengan kisah hidupku sekarang, sesuai dengan keadaan yang aku sedang alami.
“Ya pak.”
Bergegas aku menyahut kata-kata bapa. Hanya itu saja yang termampu untuk aku ucapkan sedang wajahku masih keras untuk berpaling kerana wajahku masih berbekas kesan airmata yang tumpah dari onak mataku. Cepat-cepat aku meletakkan tangan di muka untuk membersihkan sisa airmataku, tapi agak berlakon berpura-pura membetulkan rambut dan menyapu-nyapu muka demi menyembunyikan tangisku. Entahlah bapa perasan atau tidak yang aku menangis.
“Pernahkah kau terfikir mahu jadi apa kelak?”
“Belum lagi pak.”
“Masih belum terlambat lagi untuk kau menanam cita-cita Pi. Masih ada peluang lagi. Kau masih lagi muda.”
“Ya pak,” Aku hanya mengiyakan kata-kata bapa. Sambil aku termenung memikirkan kesudahan hidupku kelak tanpa pendidikan yang akumiliki. Terbayang-bayang aku menjadi pengemis meminta-minta rezeki orang lain, sedang aku berkemampuan untuk bekerja dengan empat kerat tulang dan kudrat yang aku miliki.
Ah! Tentu sahaja aku tidak mahu menjadi pengemis. Aku mahu hidup senang, punya kereta, punya rumah yang mewah, punya keluarga yang bahagia, punya segala-galanya yang aku mahukan.
Tapi aku sedar, semua itu memerlukan wang. Di era ini, untuk mendapatkan wang bukanlah suatu perkara yang mudah. Sedangkan pada zaman bapa sahaja sangat payah untuk mendapatkan belanja, apatah lagi pada masa kini.
Tapi anak-anak orang kaya yang ada di luar sana beruntung sebab tidak merasakan erti kesusahan hidup. Biarpun aku nakal, tapi kesusahan hidup sudah menjadi pendidikan awal buatku semenjak kecil lagi. Jadi tiada masalah untuk aku berkawan dengan kesusahan.
Aku harus punya cita-cita dan matlamat hidup. Untuk apa aku hidup sebenarnya? Satu persoalan yang sering bermain di fikiranku. Yang aku tahu hanya teruskan hidup selagi nyawa belum berpisah dari badan. Mungkin aku belum matang untuk berfikir lebih jauh.
“Bapa mahu kau sambung belajar semula Pi,” sambung bapa menerjah segala lamunanku.
“Tapi pak, macam mana Pipi mahu teruskan belajar? Pihak sekolahkan sudah tidak mahu menerima Pipi lagi di sana pak.”
“Untuk tahun ini, tidak apalah. Kau duduk saja di rumah. Buat ulang kaji sendiri. Habiskan dulu tahun ini. Bapa bagi kau peluang untuk merasakan bagaimana kehidupan apabila tidak bersekolah.”
“Kalau begitu pak, biarlah Pipi mencari pekerjaan untuk sementara waktu pak. Daripada tidak melakukan apa-apa, baik Pipi bekerja dan menyimpan duit untuk membantu keluarga kita.”
“Itu terpulanglah dengan kaulah Pi. Bapa tidak melarang kau. Ada baiknya juga supaya kau mendapat pengalaman dan pengajaran. Kau akan rasa bagaimana susahnya mencari duit dengan bekerja keras disebabkan tidak mempunyai pendidikan.”
“Apa yang penting, bapa mahu tahun depan kau sambung semula belajar. Kau mengulang balik SPM kau. Itu saja jalan dan peluang kau untuk bangkit semula dalam pelajaran. Bapa sandarkan harapan bapa dengan kau. Jangan kecewakan bapa dan ibumu lagi. Jangan hancurkan harapan kami. Bapa mahu tengok kau berjaya. Bapa tidak mahu kau hidup susah nanti apabila kau sudah dewasa.”
Mendengar kata-kata bapa, aku langsung berpaling ke arah bapa. Memang aku jangkakan bapa akan meminta aku untuk bersekolah semula pada tahun hadapan.
Aduh! Terfikir aku untuk duduk semula belajar bersama junior-junior ku. Masa itu tentu sahaja aku telah kehilangan kawan-kawanku yang akan menamatkan pelajaran mereka pada tahun ini. Tapi disebabkan harapan bapa tadi, dan memikirkan semula cerita bapa, aku mula memasangkan tekad.
Aku akan berusaha untuk berubah. Meskipun aku harus menanggung malu di atas perbuatanku dan berdepan semula dengan cikgu-cikguku, aku akan tabah menghadapinya. Kali ini aku betul-betul tekad. Demi bapa dan juga masa depanku, aku akan berusaha untuk mengubah semua ini.
“Baiklah pak, Pipi akan menyambung semula pelajaran pada tahun hadapan. Tapi kalau boleh Pipi tidak mahu untuk menyambungnya di sekolah yang sama. Biarlah Pipi menyambung sekolah di sekolah yang tidak ada sesiapa yang mengenali Pipi. Supaya Pipi dapat kawan-kawan baru yang mungkin jauh lebih baik daripada kawan-kawan Pipi sebelum ini pak,” luahku kepada bapa.
Sengaja aku memasang alasan sebegitu, untuk menyambung semula persekolahan di sekolah yang lain supaya sekurang-kurangnya aku tidak berasa malu untuk kembali semula ke sekolah.
“Boleh, asalkan kau tidak mengulangi semula kesilapan yang kau lakukan. Jadikan peristiwa hari ini sebagai pengajaran untuk kau. Bapa percaya kau boleh berubah. Suatu hari bila kau sudah dewasa kelak dan berjaya, ingatlah apa yang bapa pernah katakan dengan kau ini.”
“Iya pak. Pipi akan berusaha untuk mengubah diri Pipi menjadi yang lebih baik dan berguna pak. Pipi akan ingat setiap kata-kata dan nasihat bapa.”
“Alhamdulillah… Baguslah kalau macam begitu. Kalau boleh, suatu hari nanti bapa mahu kau jadi polis. Sebab antara adik-beradik kamu belum ada lagi yang jadi polis. Bapa suka tengok kalau anak bapa segak dengan uniform polis. Kau layak sebab dari segi fizikal kau sudah bagus. Kau tinggi, ada rupa, tinggal kelayakan pendidikan saja lagi yang kau kurang buat masa ini.”
Wah! Bapa rupanya berharap supaya aku jadi polis. Aku hanya berdiam tanpa memberi sebarang jawapan balas daripada kata-kata bapa itu. Besar sungguh harapan bapa. Tidak terlintas di fikiranku untuk menjadi seorang anggota polis. Sedangkan akulah penjenayah kalau di sekolah.
Tersenyum kecil aku memikirkan harapan bapa. Tapi aku pandang kehadapan harapan bapa itu. Bagiku ianya bukan hanya sekadar harapan, tapi juga merupakan sebuah permintaan. Selama ini aku sahaja yang meminta-minta dengan bapa.
Tiba masanya pula untuk aku menunaikan permintaan bapa. Mungkin ini sahaja cara untuk aku membalas pengorbanan bapa selama ini. Sudah terlalu banyak arang yang ku conteng ke wajah bapa. Mungkin ini jalannya untuk aku membersihkan semula kesan arang yang ku coretkan itu.
Ya… Aku sudah menanam cita-cita. Cita-citaku untuk menunaikan permintaan bapa. Bukan hanya sekadar menjadi anggota polis.
Aku pandang wajah bapa yang penuh dengan harapan. Kelihatan harapan itu terpancar di wajah bapa. Harapan yang akan membuat bapa tersenyum kelak. Aku tidak dapat bayangkan saat manis itu. Saat itu jugalah aku berjanji pada diriku, yang aku akan buktikan kepada bapa bahawa aku juga seorang anak yang berguna buatnya. Walaupun selama ini aku banyak menyusahkannya. Cukup sudah bagiku untuk menjadi remaja. Kali ini aku melangkah sebagai seorang dewasa…
………………………………………………………………………………………………………..
“Biarkan berlalu…Tirai kisah semalam…”
Tersentak aku daripada lamunan. Disedarkan oleh bunyi nada deringan handphone milikku yang memutarkan lagu Faizal Tahir. Ah! Sungguh jauh aku menghayal kembali ke masa lalu ku.
Sudah 15 tahun berlalu. Potret gambar bapa masih berada di tanganku. Aku biarkan saja handphone berbunyi tanpa mengangkatnya. Ya Allah… Tanpa aku sedari airmataku mengalir. Sungguh aku rindukan bapa. Sudah 5 tahun bapa pergi dijemput Ilahi. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi bapa. Kata-kata apa masih terngiang di telingaku, seperti baru semalam saat bersama bapa. Aku tidak dapat menahan tangisku. Berderai airmataku tumpah membasahi uniform polisku.
Ya! Kini aku merupakan pegawai polis berpangkat Inspektor. Harapan bapa terhadapku kini telah ku sarung ke badan. Syukurlah bapa berkesempatan untuk melihat aku menjawat jawatan ini. Sungguh benar sekali, saat itu memang bapa tersenyum lebar memandangku.
Dia sempat memelukku dengan erat sambil airmatanya tumpah di bahuku sebelum pemergiaannya. Aku bangga kerana dapat membuat bapa menangis disebabkan kejayaanku. Bukan lagi disebabkan kegagalanku. Semua ini hasil daripada nasihat yang bapa berikan kepadaku. Kalau tidak, mana mungkin aku bisa berada sejauh ini. Apa yang pasti, aku bangkit kerna bapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan