
KATA YANG HILANG
Oleh : Muhammad Iqbal Thaqif Bin Mat Kamil
Arash
dilahirkan di kampung bahagian selatan negara Malasa. Kampung tepi sungai itu
tidak ramai penduduknya, kesemuanya sekadar sepuluh keluarga. Mungkin kerana
jumlah penduduk yang tidak ramai sekali gus tidak banyak pendapat yang berbeza,
maka mereka hidup saling bantu membantu dalam suasana yang cukup harmoni.
Mereka itu tiada pertalian darah, bukan sanak saudara tapi kerana sekian lama
mendiami kawasan yang serupa dan akrab. Tetapi, jumlah penduduk mungkin bukan
faktor utama tidak timbulnya pertelingkahan. Kerana pada mulanya, penduduk
kampung hanya sebanyak enam keluarga. Kiranya dibiarkan masa terus berlalu,
dari sebelas keluarga, pastinya penduduk kampung berkembang menjadi
berpuluh-puluh atau beribu-ribu keluarga.
Yang jelasnya, ketika itu penduduk
kampong tiada masalah perkauman, bahasa, atau budaya. Tiada masalah kerana
pentas yang bernama kampung sudah menyambungkan mereka. Walaupun tidak
menyatukan mereka. Atau lebih tepat lagi kiranya ialah sebatang sungai yang
mengalir di bahagian hulu dan hilir kampung sudah menyambungkan penduduk yang
tinggal secara berselerak di dalam kampong. Tidak kira penduduk yang tinggal di
tebing sebelah kiri atau sebelah kanan sungai, tidak kira mereka yang tinggal
di bahagian hulu atau hilir sungai, semuanya bergantung kepada sebatang sungai
itu untuk meneruskan kehidupan. Semua aktiviti hidup berkisar di kedua-dua
tebing dan sungai itu.
Mereka bergantung kepada sungai
untuk mendapatkan minuman. Mereka mambasuh barangan dan mandi menggunakan air
sungai. Mereka memancing ikan dan menangkap udang di dalam sungai. Mereka
mencari rebung, paku pakis dan pucuk-pucuk yang tumbuh di sepanjang sungai.
Kayu yang hanyut dari hulu sungai pula dijadikan sebagai bahan api atau untuk membaiki
rumah mereka. Tepat sekali kiranya dikatakan sungai itu adalah saluran darah
penduduk kampong. Kiranya ada perbezaan kecil dari segi ideologi dan
pengasingan kerana jarak tempat tinggal, semua tidak jelas kerana sebatang
sungai telah mendekatkan mereka.
Kawasan kampung itu subur dan banyak
sekali hasil alamnya. Di dalam sungai ada ikan dan udang yang berenang bebas. Di
sepanjang sungai ada tumbuh-tumbuhan yang subur dan membentuk hutan tebal.
Malah, tumbuh-tumbuhan itu telah menghasilkan buah-buahan yang boleh dijadikan
makanan, hutan itu sendiri yang terdiri dari balak adalah kurnia alam yang
begitu mewah. Tidak cukup sekadar sungai dan kawasan tebing sungai,di bawah
tanah jika digali mempunyai banyak bahan galian yang terpendam dan tersembunyi.
Semua kurnia alam itu menjamin kehidupan yang bahagia untuk penduduk kampung.
Orang tua-tua pernah berkata,
“dengan kurnia alam, kita boleh terus hidup di sini sepuluh generasi lagi
sebarang masalah. Kita boleh menmbah bilangan penduduk kampong tanpa sebarang
kebimbangan.”
Orang tua-tua kampug memang
dihormati. Ramalan mereka dikatakan tepat dan dipercayai secara bulat-bulat.
Maka penduduk kampung pun menerusi kehidupan tanpa berfikir panjang. Mereka
tidak memikirkan sebarang kemungkinan. Mereka hanya hidup mengikut kitaran
musim. Mereka menerima musim hujan dan musim kemarau dengan senang hati. Mereka
meniti kehidupan mereka dengan tenang dan bersahaja. Mereka langsung tidak
terfikir adanya kemungkinan berita buruk. Tentunya mereka tidak tahu, di luar
kawasan kampung mereka ada kuasa-kuasa baru sedang bangkit dan suatu hari nanti
akan melanggar kawasan kampung mereka. Mereka juga tidak pernah terfikir, suatu
hari nanti, kehidupan lama mereka akan berubah dan untuk pulang ke cara hidup
lama adalah usaha yang hampir mustahil.
Penduduk kampung hidup dalam
dunianya yang serba tertutup. Tidak banyak interaksi mereka dengan dunia luar.
Kiranya ada keperluan, hanya sedikit garam untuk menambahkan nikmat makanan. Garam
itu biasanya dibawa masuk penduduk-penduduk dari kampung lain. Mereka yang
memikul garam ke situ, biasanya menukar
garam dengan hasil kampong. Setelah rundingan yang sekejap, garam terus ditukar
dengan hasil kampung dan tidak timbul sebarang perselisihan faham atau
pertelingkahan.
Keadaan hidup begitu berkekalan agak
lama. Rentak kampung begitu seperti akan terus kekal buat selama-lamanya.
Tetapi, peta hidup begitu berubah juga. Peta hidup itu berubah dengan
kedatangan Jahal dan orang-orangnya. Tidak adil kiranya menuduh Jahal dan
orang-orangnya tidak datang dengan niat yang baik. Mereka juga manusia yang
baik. Hanya latar belakanng, kepercayaan dan nilai mereka berbeza. Mereka tidak
kenal kampung itu. Mereka tidak tahu menahu tentang sungai itu. Kiranya mereka
tahu sekalipun, sekadar dari jarak yang amat jauh dan secara kasar. Lagipun
Jahal dan orang-orangnya dipaksa ke situ kerana tanah kelahiran mereka sedang
menghadapi pelbagai masalah. Tanah kelahiran Jahal bukan sahaja menghadapi
masalah pertumbuhan penduduk secara mendadak, tapi keupayaan tanah itu untuk
menampung kehidupan penduduk-penduduknya sudah menjadi suatu tanda tanya. Jahal
dan orang-orangnya yang kalah dalam persaingan merebut tempat di tanah asal
mereka, terpaksa merantau. Dan entah kampung itu tidak bernasib baik, atau
Jahal dan orang-orangnya bernasib baik, pada suatu hari Jahal dan
orang-orangnya tiba di kampung itu.
Pada mulanya Jahal juga cuba
menyesuaikan dirinya dengan cara hidup orang kampung. Ketika orang kampung
enggan menerima emas atau perak sebaliknya mahukan garam untuk menukar barangan
keluaran kampung. Jahal begitu gembira sekali. Jahal gembira kerana garam kurang
bernilai dalam dunia Jahal berbanding dengan emas dan perak. Supaya melicinkan
proses urus niaga di antara dia dengan penduduk-penduduk kampung. Jahal merangka
sistem sukatan baru. Jahal dengan orang-orangnya kembali menyelaraskan nilai
harga dan kadar pertukaran barang-barang. Kesemuanya berjalan dengan lancer.
Mereka bergaul dalam keadaan yang harmoni. Kedatangan Jahal dan orang-orangnya,
seperti tidak menukar dan tidak mungkin menukar peta kehidupan orang-orang
kampung yang sudah diamalkan berabad-abad lamanya.
Orang kanan Jahal, Lahab yang mula
sekali menyuarakan rasa kurang senang. Katanya, “Penduduk di sini menggunakan
suatu bahasa yang cukup susah untuk berkomunikasi. Cara mereka bercakap tidak
difahami dunia luar. Kiranya dibiarkan mereka terus begini, mereka pasti
dilupakan arus kemajuan dunia.”
Lahab tidak menyuarakan sebab sebenar
rasa terganggunya. Lahab tidak memberitahu Jahal, dia merasa kurang senang
kerana dia tidak mengerti apa yang dicakapkan penduduk kampung. Setiap kali
mereka bergaul. Kamal merasakan dirinya seperti diketepikan.
Jahal hanya mendengarkan leteran
Lahab tanpa berbuat apa-apa. Jahal juga mengongsi rasa sebenar Lahab, tapi dia
tidak tahu cara terbaik untuk menghilangkan rasa kurang senangnya. Mungkin
kerana tidak Nampak Jahal bertindak, selang tidak lama selepas itu, orang yang
sama mendakwa lagi. Kali ini dia menimbulkan topik yang lebih penting dan
besar. Dia mempertikaikan sistem kampung yang kurang sempurna dan banyak
kelemahannya.
Jahal yang pada mulanya hanya datang
kerana ingin membeli kayu kayan yang tumbuh di sepanjang sungai dan ikan-ikan
yang hidup di dalam sungai, terdiam sejenak mendengarkan kata-kata Lahab.
Memang niat awal kedatangan mereka ke situ sekadar untuk berdagang. Tetapi,
tanpa sistem yang matang, kepentingan perniagaan mereka pastinya tidak
terjamin. Jahal tidak tidak boleh menuduh kampung itu tiada sistem. Kampung itu
memang sudah lama mempunyai sistem. Sistem
yang dimaksudkan, misalannya bangun untuk mencari nafkah ketika ayam mula
berkokok dan pulang bila matahari menghilangkan diri ke sebalik bukit di
bahagian barat sungai itu. Penduduk kampung tidak merasa kurang senang dengan
system yang sudah lama digunakan di situ. Penduduk-penduduk kampung tidak
merasa janggal dengan cara hidup yang sekian lamanya dipraktikkan, Yang merasa
kurang selesa dan senang ialah Jahal dan orang-orangnya.
“Bagaimana aku mahu menukar tabiat
lama penduduk di sini?”, Jahal mengajukan soalan kepada orang-orangnya. “Sudah
sekian lama mereka kekal dengan cara mereka. Kalau kita memperkenalkan cara
baru, pastinya ditentang secara habis-habisan.”
Jahal
menyangka orang-orangnya mempunyai cadangan dan rancangan yang lebih bagus. Jahal
tidak menyangka, mulut yang melontarkan cadangan juga membisu seribu bahasa.
Setelah
terdiam agak lama, seorang pengikut Jahal berkata. “Kita tawan saja mereka.
Kemudian kita paksa mereka menggunakan sistem kita.”
Seorang
lagi menyokong. “Ya, Kita terpaksa menggunakan kekerasan.”
Berdasarkan
sistem yang dipraktikkan tempat asal Jahal. Semua tindakan berdasarkan golongan
majoriti, maka suatu rancangan diatur untuk menawan kampung itu. Ketua kampung
dilucutkan kuasanya. Anak ketua kampung yang ditangkap, kemudiannya dihantar ke
tempat aal Jahal untuk dididik dengan sistem negara Jahal.
Rancangan
Jahal memang mendatangkan hasil yang cukup menggalakkan. Setelah ditawan dan
dijajah, generasi baru penduduk kampung semuanya dihantar ke negara Jahal untuk
menerima pendidikan. Mereka yang dibesarkan dalam suasana serba baru itu,
akhirnya sudah melupakan asal usul mereka. Semua ingatan mereka sekadar
berdasarkan pendidikan yang diterima mereka. Kiranya diperkatakan secara
positif, mereka adalah manusia generasi baru. Dari akar umbi penduduk pinggir
sungai, sekarang mereka dibawa ke suatu pentas yang lebih luas.
Pemerintahan
Jahal dan orang-orangnya tidak berkekalan. Mungkin kerana kebangkitan beberapa
kuasa baru, mungkin juga kerana ideologi-ideologi baru yang berleluasa,
cengkaman orang Jahal terhadap kampung yang ditawan mereka semakin lemah. Orang
Jahal pernah menikmati harta kekayaan kampung seperti kampung di pinggir
sungai. Tetapi, jangkamasa mereka menikmati kekayaan itu sudah berakhir. Akhirnya
dengan kebangkitan semangat tidak mahu diperintah, orang-orang Jahal diusir
keluar. Mereka dipaksa meninggalkan kampung yang pernah mereka tawan.
Perbezaannya, hanyalah ada kampung yang mereka tinggalkan secara aman, ada pula
kampung yang mereka tinggalkan setelah kejadian tumpah darah.
Kampung
yang pernah ditawan dan dijajah, kini bertukar pentadbir. Semuanya seperti
masih serupa, kecuali bertukar pentadbir. Tetapi, dengan berlalunya masa, jelas
masyarakat kampung yang dulunya hanya sepuluh keluarga, sekarang sudah berlipat
ganda, bahkan meningkat menjadi berpuluh ribu keluarga. Dengan berlipat
gandanya bilangan penduduk, di antara mereka ada pula orang yang datang dari
kampung lain, keadaannya pasti menjadi lebih kompleks dan rumit. Mereka
sekarang menghadapi masalah budaya, bahasa dan sistem.
Masa
berlalu dan keadaan sudah berubah, bolehkah mereka kembali kepada sistem
sebelum kedatangan Jahal dan orang-orangnya?. Kiranya mereka kekalkan sistem
yang digunakan zaman Jahal dan orangnya, di manakah identiti mereka?. Kiranya
sistem yang sedia ada perlu digubal, apa yang patut ditukar dan dibuang?. Apa
pula yang perlu dikekalkan?. Semua itu didebat dengan hangat di setiap
perhimpunan.
Soal
sistem bukan soal yang kritikal. Soal yang lebih membimbangkan adalah masalah
budaya dan bahasa. Campuran bahasa dan budaya bukannya suatu proses yang mudah.
Yang paling membimbangkan adalah generasi baru penduduk kampung yang cuba
menegakkan budaya dan bahasa kaum Jahal. Mereka ini sudah lama dididik, dilatih
dan terpengaruh dengan budaya dan bahasa kaum Jahal. Mereka sudah terlupa asal
usul mereka. Kiranya mereka ingat sekalipun, hanya tinggal ingatan yang tidak
sempurna dan lemah.
Bagaimana
pun, pertukaran pucuk pimpinan atau golongan pentadbir tidak boleh
ditangguhkan. Pada tarikh dan masa yang dipersetujui, orang-orang Jahal pun
meninggalkan pentas pentadbiran kampung itu. Kiranya ada golongan mereka yang
masih kekal tinggal di kampung itu, peranan mereka sudah berubah. Mereka
sekarang hanya menjadi pedagang, tukang atau memegang jawatan mengikut bakat masing-masing,
mereka tidak lagi bergiat aktif dalam soal pentadbiran.
Ketika mengambil alih pucuk pimpinan,
pentadbir baru memang mempunyai niat yang mulia dan suci. Mereka mahu kembali
membangunkan tamadun dan budaya yang pernah hilang. Mereka mahu mengembalikan
kegemilangan masa silam. Niat begitu memang sedap didengar. Kerana laungan
slogan yang cukup meyakinkan itulah, penduduk kampung melantik dan memilih
mereka untuk menjadi pemimpin. Kiranya bukan kerana termakan janji manis dan
tunduk di bawah naungan orang itu, masakan penduduk kampung yang lain sanggup
mengangkat mereka menjadi wakil pentadbiran.
Penduduk
kampung memang naif. Mereka menyangka dengan memilih pemimpin, semua mimpi
mereka pasti tercapai dan semua masalah terbabit pasti dapat diselesaikan
dengan baik. Mereka terlalu mempercayai kebolehan pemimpin. Mereka tidak tahu
pemimpin juga manusia seperti mereka. Bahkan, ada pemimpin yang dididik dan
dilatih dengan budaya dan bahasa luar. Mereka ini lebih senang menggunakan
bahasa orang untuk meluahkan kemahuan diri. Mungkin kerana pernah ditawan dan
dijajah, generasi pemimpin ini merasakan bahasa dan budaya orang lain lebih
canggih dan hebat daripada darah diwarisi mereka dan warisan di tubuh mereka.
Pada
mulanya, semua orang mempercayai, dengan berlalunya masa, semua kesan penawanan
dan penjajahan menjadi semakin luput dan pupus. Kes itu akan menjadi seperti
kes kebudayaan dan bahasa mereka yang pernah semakin lemah dan tidak bertenaga
ketika mereka ditadbir dan diperintah pihak luar. Dengan berlalunya masa,
keadaan itu masih tidak berubah, Sekalipun ada pihak yang melaung-laung untuk
menghidupkan semula budaya dan bahasa asal, usaha itu tidak menampakkan hasil
yang menggalakkan. Setelah mengambil alih pucuk pimpinan dan menjadi pentadbir,
masih kekal begitu, pasti bukan tanggungjawab kaum pendatang lagi. Sesekali ketika
Arash dan Lam yang sudah lanjut usia bertemu, mereka sering saling menyoal.
“Kiranya
dikatakan zaman dulu kita tidak boleh mendaulatkan budaya dan bahasa kita
kerana golongan pentadbir bukan orang kita. Sekarang setelah mengambil alih
pucuk pemerintah, kita masih seperti waktu itu, apa pula alasan kita?” Tanya
Lam.
“Kenapa
dikatakan bahasa dan budaya kita tidak serasi dengan perkembangan zaman? Kenapa
dikatakan bahasa kita bukan bahasa teknologi dan bahasa sains?” Lam bertanya
lagi. “Apa itu sebenarnya teknologi dan sains itu?”
Arash
menjawab dengan suara yang kurang yakin. “Entahlah….Mungkin dalam proses
ditawan dan dijajah itu, kita sudah kehilangan kata-kata….”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan