Khamis, 26 Mei 2016

DIKIR BARAT SENI WARISAN MASYARAKAT KELANTAN

Kumpulan Dikir Barat (gambar hiasan)
Dikir Barat merupakan budaya masyarakat Kelantan yang paling popular sejak dahulu lagi. Dikir Barat seperti tidak boleh dipisahkan dalam jiwa masyarakat Kelantan tidak kira tua atau golongan muda. Dikir Barat wujud dalam kalangan masyarakat biasa yang tinggal di kampung-kampung dan pinggir bandar. Terdapat satu kumpulan dalam setiap persembahan Dikir Barat yang akan diketuai oleh seorang tukang karut dan Tok Jogho (Tok Juara). Tukang karut dan Tok Jogho (Tok Juara) ini akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir Barat biasanya dipersembahkan sebagai hiburan dan ada juga untuk dipertandingkan. Dikir Barat pada suatu ketika dahulu hanya dimainkan oleh masyarakat pada musim menui padi dan juga di majlis perkahwinan tetapi pada hari ini Dikir Barat dijadikan sebagai salah satu hiburan dan dimainkan tidak kira masa. Perkembangan Dikir Barat agak sukar untuk diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Dikir Barat dikatakan agak baru lagi kerana muncul selepas teater tradisional yang lain. Di Kelantan ianya lebih dikenali dengan nama Dikir Barat tetapi sebaliknya di Selatan Thai mereka lebih mengenalinya dengan Dikir Karut.

Mengikut beberapa pendapat mengenai asal-usul Dikir Barat ia berasal dari Selatan Siam, Pulau Tebu dan merupakan Ciptaan Pak Leh Tapang. Ada yang mengatakan Dikir Barat berasal dari  Selatan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

Dikir Barat berasal dari Pulau Tebu pula kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan Dikir Barat, ramai orang menganggap Dikir Barat sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar. Manakala Dikir Barat berasal dari ciptaan Pak Leh Tapang kerana ramai orang mengenali beliau melalui Dikir Barat. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkannya.

Setiap pasukan atau kumpulan Dikir Barat terdiri daripada seorang tukang karut, seorang Tok Jogho (Tok Juara) dan beberapa orang awak-awak (antara 10-20 orang). Tukang Karut adalah orang yang paling penting dalam setiap kumpulan Dikir Barat. Tugas Tukang Karut yang paling penting sekali ialah berpantun dan bersyair. Pantun-pantun dan syair itu didendangkan dengan cara spontan mengikut seleranya. Maka idea-idea, isi-isi puisi itu, bahasa dan persoalan yang dikemukakan tanpa berfikir dua kali. Kebiasaanya Tukang Karut ini diambil daripada kalangan orang yang banyak idea dan pengalaman.

Tok Jogho (Tok Juara) juga orang yang penting selepas Tukang Karut. Tok Jogho ini biasanya akan berdikir sebelum Tukang Karut mengambil alih untuk mengarut. Kadangkala, Tok Jogho juga terpaksa mengarut iaitu di waktu Tukang Karut belum tiba. Tok Jogho berdikir sambil duduk di sepanjang permainan, tetapi Tukang Karut mendendangkan karutnya sambil berdiri. Manakala awak-awak pula ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu permainan Dikir Barat. Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada muda mudi belasan tahun. Gelaran awak-awak ini diambil sempena daripada nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil “Jeragan” jadi keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awak-awak dalam permainan Dikir Barat yang di bawah jagaan ketua mereka, iaitu Tok Jogho.

Peralatan muzik (gambar hiasan)
Peralatan muzik dalam Dikir Barat terdiri daripada rebana ibu dan anak. Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan bebulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan yang dibuat daripada kayu yang tidak dalam (5-6 inci dalam). Belulang dikemaskan dengan menggunakan pancang kayu antara cincin dan bahagian bawah badannya. Rebana Anak lebih kecil daripada rebana ibu. Tetawak pula diperbuat daripada perunggu berbentuk bulat. Dindingnya tebal, berbusut di tengah-tengah permukaannya. Picnya lebih tinggi dari gong agung. Biasanya tetawak ini digantung dan dipalu busutnya. Selain itu, marakas juga turut digunakan. Sepasang marakas digunakan dalam setiap persembahan Dikir Barat. Ia biasanya dibuat daripada kayu atau plastik dan tempurung kelapa. Kayu yang digunakan dilarik, dilicinkan dan dibentuk bulat seperti bola. Di dalamnya dimasukkan biji-biji batu kecil untuk menghasilkan bunyi. Kayu pemegang dipasang untuk memudahkan pemain memainkannya. 
    
Diantara lagu-lagu Dikir Barat yang terkenal ialah Karut Kelantan Cepat, Karut Kelantan Anjur (Perlahan), Karut Petani, Karut Wok Yoh, Karut Pendek, Karut Yengki Cepat, Karut Yengki Anjur, Karut Yengki Tengahan, Karut Yengki Ding Ding, Karut Hala, Karut Selampit, Karut Menora, Karut Jenaka Mak Yong dan Karut Wau Bulan. Dikir Barat juga mempunyai tiga jenis irama iaitu irama asli, irama padang pasir dan irama Hindustan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan