Selasa, 24 Mei 2016

Perancangan-Nya





Gambar Hiasan

PERANCANGAN-NYA

 Wan Safrie Bin Oyong


Dulu aku anak gadis yang bertuah. Punya orang tua yang cukup mengasihi aku sungguh-sungguh. Aku dibesarkan dengan didikan agama yang cukup oleh kedua ibu bapaku. Aku bahagia dengan kasih sayang serta perhatian yang diberikan oleh mereka kepadaku. Memandangkan aku anak tunggal, aku sangat dimanjakan. 

    Tetapi, dalam usia mudaku, takdir telah meranapkan segala keselesaan itu. Ibu dan ayahku bercerai atas sebab yang tidak kutemukan puncanya. Perkara itu menjadi rahsia ibu kepadaku. Walaupun beberapa kali aku cuba membangkitkan persoalan tersebut, namun ibu sering saja bijak melepaskan diri daripada jawapan yang benar-benar jujur. Sejak ibu bercerai dengan ayah, aku dibesarkan olehnya semenjak umurku 14 tahun sehinggalah sekarang.

    Semenjak aku tingggal bersama ibu, hidupku mulai berubah. Lontaran daripada corak kehidupan yang berbeza ditampilkan oleh ibu sepanjang membesarkanku berbanding dahulu ketika ayah dan ibu masih bersama. Dulu, semasa masih ada ayah bersama, aku sering mendapat didikan agama yang baik. 
    
    Ayah mengajaraku sembahyang, mengaji Al-Quran, dan macam-macam lagi. Bahkan, sebelum aku beradu dibuai mimpi-mimpi indah, ayah akan menceritakan kisah-kisah para Nabi serta para Sahabat kepadaku. Huh! Memang ketika itu aku sangat terdidik dengan ajaran Islam yang ayah terapkan dalam kehidupanku sehari harian.

    Tetapi setelah aku mulai dibesarkan oleh ibu bersendirian tanpa ayah, ajaran agama itu sudah mula jauh dari kehidupanku. Tambahan lagi, ibu merupakan saudara baru dalam Islam. Setelah ibu berkahwin dengan ayah sahaja baru ibu memeluk agama Islam. Ketika itu baru ibu mengenal Islam. Oleh kerana itulah ilmu-ilmu tentang keislaman belum benar-benar kukuh dalam diri ibu disebabkan perceraian dia dan ayah. Ibu hanya membesarkan aku dengan kasih sayangnya. Tapi tidak dengan ilmu keagamaan. 

    Aku tidak salahkan ibu dalam hal ini, tetapi aku menyalahkan diriku sendiri kerana sapatutya aku boleh berusaha mengejar ilmu itu. Tapi… Mungkin disebabkan rasa tertekan atas perpisahan dua insan yang aku sayang menyebabkan hidupku menjadi terumbang ambing. Aku seperti tiada tujuan untuk hidup di dunia ini. Aku bebas berjalan ke mana sahaja yang aku sukai. Aku bebas berkawan dengan siapa sahaja yang aku senangi.

   Pergaulanku benar-benar bebas. Keselesaanku tidak terbatas oleh mana-mana peraturan yang diruang sedarku mengundang dosa dan murka Tuhan. Aku cuma tahu berseronok dan bergembira bersama kawan-kawanku. Bagiku hidup hanya sekali, kalau tidak merasakan keseronokan kita akan rugi. 
    
    Pada usia dewasa kini baru aku mulai sedar, yang aku sudah jauh tersasar daripada kebenaran. Apa yang selama ini aku lakukan benar-benar bukan suatu daripada ajaran agama yang aku anuti. Aku sendiri sudah lupa cara-cara untuk aku menyembah Tuhanku, apatah lagi untuk menyebut Qalam-Nya yang terbuku di dalam kitab suci. 

  Yang lebih menyedihkan lagi, baru-baru ini aku dikejutkan dengan pemergiaan ibuku yang tersayang. Satu-satunya insan yang paling rapat denganku selama ini. Aku celaru dengan keadaanku kini. Ayah pula sudah bertahun-tahun tidak pernah aku berjumpa dengannya. Entah masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

    Semenjak ayah berpisah dengan ibu, kali terakhir aku berjumpa dengan ayah ketika aku menerima anugerah pelajar terbaik SPM di sekolah. Selepas daripada itu, ayah terus menghilang. Katanya dia bakal menunaikan Haji di kota suci Mekah. Ayah memang hebat dalam bidang agama.

    Pemergian ibu disebabkan oleh penyakit kanser rahim yang dihidapinya selama ini. Aku kesal kerana selama aku bersama ibu, aku tidak pernah mengetahui tentang penyakit yang dihidapinya itu. Rupanya, penyakit itu jugalah yang menyebabkan ibu bercerai dengan ayah. Dan barulah aku fahamkenapa selama ini hanya aku satu-satunya anak mereka.

    Semenjak daripada itu, aku mula mahu meneruskan kehidupan baru. Seakan aku tersedar daripada kekhilafanku selama ini. Apa tidaknya, semasa kematian aruah ibuku, aku tidak mampu untuk menyedekahkan bacaan surah Yassin kepadanya disebabkan kejahilanku. Saat itu, aku mula teringatkan ayah. 

    Ayahlah satu-satunya tempatku menuntut ilmu agama. Sampaikan pada satu ketika, aku menangis berseorangan sambil memegang buku surah Yassin di tanganku. Aku tekad untuk mencari semula kehidupanku yang dulu. Aku meronta di atas sejadah tanpa mengerti bagaimana untuk menunaikan tanggungjawabku pada-Nya. Yang aku tahu hanyalah meminta-minta sambil menangis bercucuran airmata kepada Tuhanku yang masih belum ku kenali lagi. 

    Aku mula terfikir betapa jahilnya aku. Segala dosa-dosa lalu bermain dalam ingatanku. Sungguh jauh aku tersasar. Bila diingat semula, aku pernah berzina dengan lelaki yang ku kenali hanya satu malam akibat mabuk bersama kawan-kawan ketika berpesta di kelab malam tanpa pengetahuan ibuku.

    Ya Allah… Betapa besarnya kesalahanku. Aku hendak bertaubat, namun masih buntu memikirkan caranya. Terkapai-kapai aku mengejar keampuanan pada saat ini. Suatu saat, aku ditemukan dengan seorang hamba Allah yang sangat baik orangnya. Aku bertemu dengannya di sebuah masjid yang buat pertama kalinya aku kunjungi untuk menunaikan solat fardu Zuhur. Walaupun pada ketika itu aku bermula kosong, namun kuusung bersama niatku untuk mula merapak sujud pada Tuhan penciptaku.

    Masih lagi ku ingat sewaktu buat pertama kalinya dia menegur aku. Ketika itu kami baru sahaja selesai solat berjemaah fardu Zuhur. Mungkin disebabkan dia melihat raut wajahku menangis dengan begitu dahsyat sekali, tambahan pula dia berada hanya di sebelah aku pada detik itu membuatkannya tidak tahan melihatku.

    “Assalammu’alaikum…” Sapanya sambil melemparkan senyuman di sebalik wajah ingin tahu.

    “Wa..’alaikum..salam…” Tersekat sekat aku menyahut salamnya disebabkan tangisku yang deras.

    “Cik ada masalah ker? Kenapa cik menangis?”

    Kebetulan pada detik itu semua jemaah masjid telah pun bepergiaan. Yang tinggal hanya kami berdua sahaja. Lagipun jemaah pada hari itu tidaklah ramai. 

   Aku hanya mampu berdiam seketika. Serba salah diriku untuk menjawab pertanyaan itu. Sebenarnya aku malu untuk menyatakannya. Punca sebenar aku menangis. Aku mendiamkan diri, cuba mencari ketenangan untuk berbual. Dalam hatiku, ini mungkin kesempatan untuk aku meluahkan perasaan. Kuusap perlahan airmata yang berbekas di tebing wajahku. Memastikan tiada lagi titis-titis yang berbaki akan jatuh, barulah aku berpaling wajah kepada wanita tersebut.

    Orangnya cantik. Wajahnya kelihatan sangat tenang dan penuh kedamaian. Dia tidaklah terlalu muda, tidak juga terlalu tua. Tetapi kelihatan lebih matang daripada aku. Dia hanya tersenyum memandangku. Dihulurkan tangannya kepadaku tanda mengajak aku untuk bersalaman.

    “Nama saya Nur Hidayah.” Dengan lembut suaranya memperkenalkan namanya padaku.

    “Saya Fatimah.” Pendek saja aku menjawab. 

    "Ya. Memang nama aku Fatimah". 

    Sekali lagi aku teringat akan ayah. Ayahlah yang memberikan aku nama itu katanya. Menurutnya, nama itu merupakan nama yang baik di dalam Islam. Kerana anak Rasulallah sendiri bernama Fatimah. Walhal, ibuku juga mendapat nama Islamnya dari ayah. Ayah memberi nama ibu sebagai Khadijah. Kerana katanya Khadijah merupakan nama kepada isteri baginda Rasulallah s.a.w yang pertama.

    “Kenapa cik Fatimah menangis tadi?

   Dia mengemukakan semula pertanyaan yang sama. Kali ini aku nekad untuk menceritakan padanya. Kutebalkan muka, sambil ku gagahkan perasaanku untuk menjawab persoalan itu.

    “Sebenarnya… saya malu terhadap Allah. Saya tidak tahu solat. Ini pun merupakan kali pertama saya pergi ke masjid. Saya malu untuk mengakun seorang muslim, sedangkan saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang muslimah selama ini. Terlalu banyak dosa yang saya lakukan sepanjang kehidupan saya.” 

    Tidak lama, airmataku keluar lagi. Kali ini lagi deras dari sebelumnya. Aku merasa betul-betul sebak. Jauh sudah rasa malu dalam diriku. Yang tinggal hanya belas terhadap diriku sendiri. Aku kasihankan diriku sendiri. Entah sampai bila aku harus seperti ini. Entah berapa lama lagi aku harus mencari hati yang hilang dibawa kejahilan. Cukup sudah bagiku menzalimi diri sendiri. Tidak sanggup untukku terus musyrik di sisi-Nya. Kelihatan wajah cik Hidayah sayu sepertinya dia memahami. Seakan-akan dia turut menahan tangis di jiwanya. 

    “Astagfirullahhal’azim. Cik Fatimah usahlah bersedih. Sebaliknya cik Fatimah harus bersyukur kerana Allah telah memberikan Hidayah dan Petunjuk-Nya buat cik. Alhamdulillah. Allah juga masih memberikan cik Fatimah kesempatan yang diimpikan oleh roh-roh manusia yang telah meninggal dunia yang meronta demi untuk kembali ke jalan-Nya disebabkan dosa-dosa mereka sepanjang mereka hidup di dunia.” 

    Subhanallah. Memang benar sekali apa yang dikatakan oleh cik Hidayah itu. Kenapa aku tidak terfikir yang aku masih lagi beruntung? Masih ada kesempatan untuk aku memanjatkan taubat memohon keampunan kepada Allah s.w.t. Ayah pernah mengatakan yang Allah itu maha pengasih dan penyayang. Dia juga maha pengampun dan sentiasa menerima taubat dari setiap hamba-Nya yang bersungguh-sungguh. 

    “Tapi cik Hidayah, saya memang mahu sangat kembali ke jalan yang benar. Saya mahu bertaubat. Tapi saya jahil. Saya buta ilmu agama, walaupun pada dulunya saya mempelajarinya ilmu-ilmu agama daripada ayah saya, tapi saya sudah lupa semuanya akibat daripada lalai dan alpa. Saya ada ilmu, tapi tidak pula saya amalkan.” 

    “Saya rasa menyesal sangat-sangat. Sekarang ini saya sudah tidak punya siapa-siapa lagi di dunia. Ibu saya telah pun pergi buat selama-lamanya disebabkan penyakit kanser rahim yang dideritainya.” Jelas aku sambil berterusan menangis. 

     Tidak mampu aku mengawal perasaan sedih pada detik itu. Aku berdiam seketika, melihat pada bola mata cik Hidayah menampakkan butir-butir mutiara yang jernih. Kelihatan hendak menerjah keluar daripada kantung matanya. Ternyata dia juga turut bersedih menghayati kisah hidupku. 

    “Penyakit itu jualah punca ibu dan ayah bercerai atas persetujuan bersama. Semenjak ibu dan ayah saya bererai, ayah telah menghilang entah kemana setelah bercerai dengan aruah ibu saya.” Sambungku sambil menutupi mulut menggunakan telekung yang masih belum ku tanggalkan dari badan sejak tadi bagi menyembunyikan suara-suara tangisku yang semakin deras bersahutan.

    Detik itu, ku lihat cik Hidayah juga berlinangkan airmata. Walaupun dia cuba sedaya upaya untuk menyembunyikannya daripadaku, tapi aku tahu sebab aku juga wanita seperti dia.

    “Sebenarnya saudari Fatimah, kita berdua sama sahaja. Saya juga bermula dengan kejahilan yang menyebulungi kehidupan saya yang lalu. Saya lebih lagi dahsyat daripada saudari. Saya bermula kosong tanpa sebarang didikan agama Islam meskipun saya berasal daripada keluarga muslim.”

    Ya Allah. Rupanya cik Hidayah juga sama sepertiku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan